
Tinjauan Bernama di sekitar Parlimen Kota Kinabalu yang mempunyai tiga kerusi DUN, iaitu Luyang, Likas dan Api-Api, mendapati bendera-bendera parti sudah banyak dipasang di lokasi strategik, termasuk di bulatan dan jejantas, selain di sepanjang jalan utama.
Bendera parti terutamanya Pakatan Harapan (PH), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan (Warisan) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) kini menghiasi pemandangan, antaranya di sepanjang Jalan KK Bypass, Jalan Kemajuan dan Jalan Tun Fuad Stephens, menandakan persaingan menawan hati pengundi.
Tidak ketinggalan, di Jalan Lintas menuju ke Inanam, bendera PH dan GRS turut berkibar megah manakala bendera Barisan Nasional (BN) pula dipasang sepanjang jalan dari Lok Kawi, Putatan, hingga ke Kota Kinabalu.
Pada PRN kali ini, calon-calon PKR, DAP dan Amanah bertanding menggunakan logo PH.
Selain itu, poster dan sepanduk calon turut memenuhi persimpangan jalan serta premis-premis persendirian, ibarat menghulurkan ‘senyuman’ kepada pengundi dalam usaha mendekati dan memperkenalkan diri.
Petugas logistik PH bagi DUN Api-Api Hassim Sulaiman berkata, pihaknya akan memasang 6,000 bendera dalam tempoh beberapa hari ini, sebelum terlibat dengan program pengedaran risalah di pasar-pasar tamu minggu depan.
“Pasukan kami yang terdiri daripada lima petugas mula memasang (bendera) sejak 7 pagi tadi dan akan berlarutan hingga lewat malam ini.
“Tugas ini perlu diselesaikan secepat mungkin kerana minggu depan, kami mula bantu parti edar risalah kempen di pasar-pasar tamu,” katanya ketika ditemui di depan bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
SPR menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah, manakala pengundian awal pada 25 Nov.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan, manakala Daftar Pemilih Pilihan Raya yang dikemas kini hingga 5 Okt lepas menyaksikan terdapat 1,784,843 pemilih, terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera serta pasangan dan 12,729 anggota polis serta pasangan.