Kerusi Parlimen Sabah, Sarawak akan ditambah, kata PM

Kerusi Parlimen Sabah, Sarawak akan ditambah, kata PM

Anwar Ibrahim berkata namun jumlah itu tidak sampai kepada tuntutan 1/3 kerusi Parlimen memandangkan wujud perbezaan tafsiran MA63.

dewan rakyat
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata selain penyusunan semula kawasan pilihan raya Sabah dan Sarawak, pelaksanaan itu turut libat beberapa kawasan Semenanjung yang mempunyai jumlah pengundi tinggi. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan Putrajaya telah membuat keputusan dasar menambah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak menjelang PRU akan datang.

Namun, katanya ia tidak mencapai kuota 1/3 seperti dituntut sebahagian pemimpin dua wilayah itu.

Anwar berkata, permintaan supaya Sabah dan Sarawak kembali memegang 1/3 kerusi Parlimen seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu diperhalusi terlebih dahulu kerana wujud perbezaan tafsiran, termasuk perkara berkaitan keanggotaan Singapura dalam persekutuan ketika itu.

“Kerusi Parlimen, interpretasi berbeza. Sebahagian dari Sabah dan Sarawak mengatakan ini sebahagian MA63…ia termasuk Singapura,” katanya ketika ditanya sama ada tuntutan penambahan kerusi akan direalisasikan pada PRU akan datang.

Namun, beliau menegaskan kerajaan sudah memutuskan menambah jumlah kerusi bagi kedua-dua wilayah itu, selaras keperluan penyusunan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya sudah maklumkan dalam mesyuarat di Kuching, dalam mesyuarat utama dengan (Ketua Menteri Sabah) Hajiji Noor dan Premier Sarawak Abang Johari Openg sebagai dasar, kita akan tambah kerusi tetapi terpulang pada SPR,” katanya.

Meskipun dasar penambahan kerusi sudah diputuskan, Anwar menegaskan ia bukan bermakna Sabah dan Sarawak bakal menerima jumlah memenuhi tuntutan 1/3 komposisi Parlimen.

“Adakah ia satu per tiga? Tidak. Tidak ada komitmen dari segi itu. Tetapi, memang ada komitmen peningkatan,” jelasnya.

Menurutnya, penambahan kerusi bukan hanya melibatkan Sabah dan Sarawak, malah turut mengambil kira keadaan di Semenanjung yang menyaksikan beberapa kawasan Parlimen kini mempunyai populasi mencecah 380,000 hingga 400,000 pengundi.

Katanya, perbezaan ketara antara kawasan luas berpenduduk rendah dan kawasan padat berpenduduk tinggi memerlukan semakan semula bagi memastikan kadar representasi lebih seimbang.

Anwar berkata, isu kuota 1/3 itu telah dirujuk kepada peguam besar Sabah dan peguam besar Sarawak serta peguam negara untuk diteliti terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dilapor berkata, rundingan meminda kuota 1/3 atau 35% kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak perlu dibuat secara bersemuka khususnya dengan setiap Ahli Parlimen Semenanjung.

Beliau berkata, ketika ini Ahli Parlimen Semenanjung mewakili 75% daripada 222 kerusi.

Bermakna jika pindaan Perlembagaan di Dewan Rakyat ingin dilakukan, tiada keperluan untuk merujuk Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak kerana wakil rakyat dari Semenanjung saja sudah lebih 2/3 kerusi.

Kali terakhir berlaku persempadanan semula membabitkan kerusi Parlimen berlaku pada 2006, dengan Sabah dan Sarawak kini masing-masing mempunyai 25 dan 31 ahli Dewan Rakyat, iaitu 56 kerusi atau kira-kira 25% daripada 222 kerusi.

Namun, Fadillah menjangkakan persempadanan semula itu mungkin tidak sempat dilaksanakan pada PRU16.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.