Anda putus hala tuju, Vignes beritahu perwakilan MIC

Anda putus hala tuju, Vignes beritahu perwakilan MIC

Presiden MIC persoal sama ada hubungan semasa antara komponen BN adalah seperti dibayangkan semasa Perikatan diwujudkan pada 1957.

Presiden MIC SA Vigneswaran (tengah), disertai kepimpinan pusat parti pada Perhimpunan Perwakilan MIC Kebangsaan hari ini.
SHAH ALAM:
Presiden MIC SA Vigneswaran menyeru perwakilan pada perhimpunan tahunan teliti mempertimbangkan hala tuju dan masa depan parti, memandangkan MIC kini berada di persimpangan yang genting.

Dalam ucapan dasar, Vigneswaran berkata, MIC antara parti politik tertua di Malaysia sudah sampai ke persimpangan dalam perjalanannya bersama Barisan Nasional (BN).

Beliau mengingatkan perwakilan bahawa MIC bermula sebagai antara tiga rakan kongsi pengasas parti Perikatan, yang kemudiannya menjadi BN.

Bekas Ahli Parlimen itu, berkata MIC kini telah kembali ke titik mula, dengan parti itu kini kembali menjadi komponen tiga parti dari Semenanjung berada dalam BN.

Namun, Vigneswaran mempersoalkan sama ada hubungan antara rakan kongsi dalam BN — Umno, MIC, dan MCA — adalah sama seperti dibayangkan tokoh yang membentuk Perikatan pada 1957.

“…sebagai insan memikul warisan ini di bahu, soalan yang bernilai jutaan ringgit: Mengapa yang lain telah meninggalkan BN? Mengapa kita masih dengan BN? Dan dalam hati kita, bolehkah kita benar-benar percaya bahawa BN hari ini masih mencerminkan Perikatan yang asal?

“Saya percaya anda, para perwakilan, sebagai penjaga parti kita, untuk menentukan alternatif yang paling berdaya maju untuk MIC sekarang dan merangka hala tuju ke hadapan dengan jelas.

“Keputusan anda hari ini akan menentukan hala tuju, kekuatan, dan kerelevanan kita untuk tahun-tahun yang akan datang,” katanya di hadapan perwakilan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.

Vigneswaran berkata BN tidak boleh mengharapkan MIC terus setia apabila parti-parti komponen lain bertindak secara unilateral demi kelangsungan mereka tanpa berunding dengan partinya.

Beliau berkata MIC harus diberikan kebebasan sama untuk meneroka dan membentuk pakatan yang dapat memastikan kelangsungan dan legasinya dengan parti atau tokoh politik lain, termasuk dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“MIC bukan parti baharu yang boleh diarahkan oleh pihak luar. Kami adalah parti pengasas BN. Kami juga mempunyai hak dan bahkan tanggungjawab untuk meneroka sebarang pakatan yang dapat melindungi kepentingan komuniti kami,” katanya.

Bekas presiden Dewan Negara itu berkata hubungan yang selama ini mengikat MIC dengan BN ‘mula longgar’ dan parti berteraskan kaum India itu mesti berdepan dengan realiti baharu tersebut.

“Benang itu ditenun dengan keringat para pengasas kami dan dimeteraikan dengan puluhan tahun kesetiaan kami, tetapi apabila ia mula lerai, kami tidak boleh duduk diam dan berpura-pura ia masih utuh.”

Beliau memberi amaran agar tidak membiarkan nostalgia menentukan masa depan MIC dalam BN, sambil berkata solidariti parti itu dengan rakan-rakan gabungannya telah dilihat sebagai suatu kelemahan, atau digunakan sebagai alat untuk mendiamkan parti itu.

“Konvensyen ini bukan tentang memutuskan ikatan, tetapi tentang kebangkitan keberanian,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.