
Ketika berucap pada dialog awam bersama golongan belia Sabah, Anwar menyifatkan jurang perbezaan kemajuan itu sesuatu yang tidak dapat dinafikan
“Jajaran lebuh raya di Sarawak hampir siap, tetapi tidak di Sabah. Siapa yang lengahkan kemajuan ini?” soalnya pada acara Temu Anwar Harapan Urang Muda Sabah di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa.
Lebuh Raya Pan Borneo meliputi jarak keseluruhan lebih 2,000km, merangkumi kira-kira 1,060km di Sarawak, 706km di Sabah, dan selebihnya di Brunei.
Setakat Julai, semua pakej projek di Sarawak dilaporkan telah 99% siap, dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026. Namun di Sabah, kemajuannya jauh ketinggalan, dengan pakej Fasa 1A sebahagian besarnya telah siap manakala Fasa 1B pula baru mencapai 3%.
Walaupun tidak menamakan mana-mana pentadbiran, Ketua Umno Beaufort Awang Aslee Lakat bulan lepas berkata, projek itu berisiko menjadi mangsa percaturan politik sekali lagi, jika Warisan kembali menerajui Sabah.
Menurut Awang, keputusan kerajaan negeri pimpinan Warisan pada 2019 untuk menamatkan kontrak Rakan Penyampai Projek (PDP) bagi jajaran Sabah menyebabkan kelewatan dan akhirnya menyusahkan rakyat.
Ketua menteri ketika itu, Shafie Apdal dilaporkan berkata, langkah penamatan kontrak itu dibuat susulan perbincangan dengan Putrajaya, berikutan kos yang tinggi, di samping bermatlamat memastikan penglibatan serta ketelusan pada peringkat negeri.
Dalam pada itu, Anwar turut mengakui rakyat kecewa berhubung isu bekalan air, menegaskan bahawa perkara itu sedang diatasi serta dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh dua tahun.
“InsyaAllah, kemelut air ini akan diselesaikan tahun depan,” katanya, merujuk krisis bekalan air yang sekian lama membelenggu Sabah.
Dalam perkembangan lain, Anwar menegaskan komitmen Putrajaya untuk melunaskan tuntutan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang akan dimulakan dengan pembayaran hak hasil sebanyak 40%.
Beliau berkata, rundingan teknikal peringkat persekutuan-negeri akan bermula Isnin ini, dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Safar Untong.
Pada 17 Okt, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah dan melangkaui kuasa perlembagaannya apabila gagal menunaikan hak Sabah untuk menerima 40% hasil persekutuan dari 1974 hingga 2021.
Pada Selasa, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan bahawa kerajaan persekutuan tidak akan merayu keputusan mahkamah yang mengiktiraf hak Sabah untuk menerima 40% hasil persekutuan yang diperoleh dari negeri itu, seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, AGC menyatakan kerajaan berhasrat mencabar ‘kecacatan’ lain yang terdapat dalam alasan penghakiman tersebut.