Masih timbul ketidakpastian berkait kekosongan dalam JAC, kata sumber

Masih timbul ketidakpastian berkait kekosongan dalam JAC, kata sumber

Adakah perdana menteri akan mematuhi konvensyen dan menamakan hakim paling kanan di Mahkamah Persekutuan mengisi kekosongan itu?

Hakim Rhodzariah Bujang kini hakim paling kanan di Mahkamah Persekutuan yang layak dilantik.
PETALING JAYA:
Lebih sebulan selepas persaraan Hakim Mahkamah Persekutuan, Zabariah Yusof, ketidakpastian masih timbul berhubung siapa yang akan dilantik Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk mengisi kekosongan jawatannya di Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

Zabariah, yang meletak jawatan 10 Okt lalu, berkhidmat enam bulan di suruhanjaya sembilan anggota itu.

JAC, yang dipengerusikan ketua hakim negara sedang berkhidmat, ditugaskan oleh undang-undang untuk mengenal pasti dan mengesyorkan calon bagi pelantikan ke empat jawatan tertinggi badan kehakiman serta hakim mahkamah atasan di Malaysia.

Sumber memberitahu FMT, masih tidak jelas sama ada Anwar akan mengikut konvensyen dan menamakan hakim paling kanan Mahkamah Persekutuan untuk mengisi kekosongan itu atau memilih hakim mahkamah tertinggi lain yang difikirkannya sesuai.

“Akibatnya, berlaku lobi sengit untuk jawatan didambakan itu,” kata sumber itu kepada FMT.

Ketika ini, Hakim Rhodzariah Bujang, yang dilantik pada Mac 2020, merupakan hakim paling kanan di Mahkamah Persekutuan yang layak dilantik.

Calon lain ialah Hakim Nordin Hassan (dilantik Januari 2023), Vazeer Alam Mydin Meera (Mac 2024), Ahmad Terrirudin Salleh (November 2024) dan Lee Swee Seng (Mei 2025).

Dua lagi hakim sedang berkhidmat – Hanipah Farikullah dan bekas ahli JAC, Nallini Pathmanathan tidak mungkin dipertimbangkan kerana mereka bakal bersara. Hanipah akan berundur 22 Nov ini dan Nalini pada 22 Feb depan.

Menurut Akta JAC 2009, empat hakim tertinggi dalam badan kehakiman secara automatik menjadi ahli JAC berdasarkan kedudukan mereka.

Seksyen 5(1)(e) Akta JAC memperuntukkan pelantikan hakim kelima Mahkamah Persekutuan adalah hak mutlak perdana menteri.

JAC kini dianggotai Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Presiden Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais, Hakim Besar Malaya Hasnah Hashim serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak Azizah Nawawi berdasarkan kedudukan mereka.

Hasnah, yang pernah memangku sebentar jawatan ketua hakim negara awal tahun ini, akan bersara Jumaat ini, dengan seorang hakim Mahkamah Rayuan diramalkan menjadi penggantinya.

Empat individu terkemuka dalam JAC, yang juga dilantik perdana menteri mengikut undang-undang, memulakan penggal dua tahun mereka pada 1 Nov 2024.

Mereka ialah bekas peguam negara Idrus Harun, bekas hakim Mahkamah Persekutuan Zainun Ali, bekas peguam besar Negeri Sarawak Talat Mahmood Abdul Rashid dan pensyarah undang-undang Universiti Teknologi Mara Hartini Saripan.

Peguam Salim Bashir menggesa pelantikan itu dibuat berdasarkan merit.

“Hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik mesti mempunyai kepakaran dan pengalaman mencukupi untuk menilai kualiti calon bagi kenaikan pangkat serta pelantikan,” katanya sambil menyifatkan lima hakim dalam JAC sebagai “penjaga” institusi kehakiman.

Peguam Abdul Rashid Ismail berkata, proses pemilihan mesti dijalankan dengan cara yang memelihara integriti JAC dan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman.

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab perdana menteri untuk mematuhi konvensyen dengan melantik hakim kanan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.