
Gabungan Penggiat Pelancongan Dalam Negara berkata ramai keluarga B40 ke Genting Highlands untuk menikmati suasana sejuk.
“Saya harap mereka boleh mempertimbangkannya, walaupun kami faham ia peranan peribadi dan pelaburan mereka tinggi, tetapi sebagai balasan kepada masyarakat,” kata pengasasnya, Uzaidi Udanis.
“Sebagai sebuah syarikat korporat yang telah pun menerima manfaat daripada kerajaan, mereka seharusnya merenung pertimbangan untuk mengenakan bayaran ini,” katanya.
Impak ke atas pelancong asing bagaimanapun dijangka lebih kecil kerana kebanyakan mereka menggunakan bas atau pengangkutan persiaran.
“Genting Highlands macam yang kita tahu tarikan utama. Kebanyakan pelancong yang datang mesti pergi Genting Highlands,” katanya.
Sementara itu, susulan perbincangan dengan Genting Malaysia, Ahli Parlimen Benting Young Syefura Othman mencadangkan syarikat memastikan kadar kutipan caj jalan persendirian yang munasabah dan tidak membebankan pengguna.
Katanya di Facebook, beliau juga mencadangkan Genting Malaysia “memberikan pengecualian khas atau diskaun caj jalan persendirian sekurang-kurangnya kepada penduduk, pekerja serta mereka yang mempunyai anak yang bersekolah di Genting.”
Selain memastikan mekanisme kutipan bayaran yang efisyen dan tidak menyebabkan kesesakan lalu lintas yang berganda, wakil rakyat DAP itu juga meminta Genting Malaysia memastikan pantauan dan penyelenggaran berterusan keadaan jalan dan cerun di sepanjang laluan jalan secara berkala.
Jalan Genting Highlands yang dibina secara persendirian oleh Genting Malaysia di kawasan berliku dan bergunung-ganang menyediakan akses yang selamat ke Resorts World Genting serta destinasi pergunungan selain Genting Malaysia.
Semalam, Genting Malaysia mengesahkan bahawa akan ada bayaran yang dikenakan untuk kenderaan yang memasuki Jalan Genting Highlands pada tarikh yang akan diumumkan kelak.
Katanya, penggunaan yang kerap menyebabkan banyak kerosakan dan memerlukan penyelenggaraan yang berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna.
Katanya lagi, Genting Malaysia tanggung sepenuhnya kos penyelenggaraan sepanjang 24 kilometer dan cerunnya sejak 1960-an.
Maklumat lanjut berhubung perkara itu akan diumumkan sebaik sahaja butiran lanjut mengenai bayaran bagi jalan persendirian ini tersedia, lapor Bernama.