
Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah dan Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata penghijrahan Sazalye ‘kerugian kecil’ bagi PKR, terutama kerana beliau kehilangan kedua-dua jawatannya dalam parti, pada awal tahun ini.
Sazalye adalah setiausaha PKR Sabah sehingga beliau hilang jawatan sebagai ketua bahagian Kota Marudu, semasa pemilihan pada April.
Lee berkata PKR hanya akan mengalami tamparan jika Sazalye mempunyai sokongan akar umbi yang kuat atau ‘penarik undi yang penting’, namun keputusan pemilihan di peringkat bahagian PKR menunjukkan sebaliknya.

Beliau berkata kejadian yang mana sesebuah parti menerima pemimpin dan ahli daripada pesaing apabila musim pilihan raya semakin hampir adalah perkara ‘amat biasa’, sebagai taktik untuk menonjolkan populariti dan dominasi.
“Saya menjangkakan kemasukannya ke Warisan akan memberikan impak yang minimum melainkan ada faktor-faktor lain. Banyak pembelotan atau penyertaan tokoh semasa musim pilihan raya akhirnya hanya bersifat simbolik dan bukannya faktor penentu.
“Ia lebih merupakan kerugian kecil bagi PKR dan pendorong sederhana untuk Warisan, dan bukannya pengubah keadaan,” katanya kepada FMT.
Awang Azman berkata rekod Sazalye dalam pilihan raya adalah lemah, iaitu tewas di kerusi DUN Matunggong sebanyak dua kali — dengan 1,687 undi pada 2018, dan 2,689 undi pada 2020, apabila beliau menduduki tempat ketiga berdasarkan jumlah undi.

Beliau menambah kekalahannya dalam pemilihan PKR menunjukkan beliau kurang pengaruh dalam parti itu.
“Ini tanda beliau tidak mempunyai pengaruh yang besar ke atas pengundi. Dalam dunia politik, pengaruh boleh ditafsirkan melalui jawatan, memenangi kerusi, rangkaian akar umbi, sumber, dan keterlihatan dalam media.
“Dalam kes Sazalye, beliau mungkin mempunyai latar belakang dan pengalaman, tetapi kurang pengaruh,” katanya.
Awang Azman menambah pengundi akan ragu-ragu terhadap penghijrahan Sazalye ke Warisan, yang boleh dianggap sebagai “seorang lagi tokoh lama yang menukar parti”.