

James Chin dari Universiti Tasmania berkata, masih terlalu awal untuk meramalkan keputusannya, tetapi sokongan kukuh tempatan untuk DAP dan potensi perpecahan undi antara pelbagai pesaing boleh memihak kepada parti itu.
Menurutnya, DAP mempunyai jenama kukuh di Sandakan, di mana terletaknya kerusi Tanjong Papat.
Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah yang senada berkata, DAP mempunyai sokongan kuat pengundi Cina di seluruh Sabah dan jentera kempen lebih besar memberi parti itu kelebihan, khasnya dalam pertembungan di kerusi bandar.

“Selepas hari penamaan calon, rakan DAP dari Semenanjung dan Sarawak dijangka ke Sandakan untuk membantu, sekali gus memberi rangsangan kepada jentera pilihan raya mereka.
“Poon dan (bekas setiausaha DAP Sabah) Liau Fui Fui mungkin mempunyai jenama kukuh, tetapi mewujudkan jentera pilihan raya pada saat akhir mungkin mencabar,” katanya kepada FMT.
Poon dan Liau baru-baru ini dinamakan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) sebagai calonnya di Tanjong Papat serta Elopura, di bawah Sandakan, kurang seminggu sebelum hari penamaan calon pada Sabtu ini.
Kedua-duanya meninggalkan DAP bulan lalu atas dakwaan kepimpinan negeri mengetepikan veteran parti.
Poon berharap dapat mempertahankan kerusi Tanjong Papat buat penggal ketiga. Beliau memenangi kerusi itu untuk DAP pada 2020 dengan majoriti 3,743 undi dalam pertembungan tujuh penjuru.
Beliau akan menentang Naib Ketua Pemuda DAP, Tang Szu Ching, yang agak terkenal dalam kalangan pengundi, walaupun dibebani persepsi calon payung terjun dari Kota Kinabalu.
“Dia (Tang) boleh memberi tentangan hebat asalkan dapat menyingkirkan label ini. Jika tidak, dia berisiko kehilangan undi Cina.”
Lee berkata, pengundi Cina lazimnya mengundi parti yang mereka sokong, bukannya calon individu, oleh itu DAP dapat memperkenalkan muka baharu untuk menyegarkan barisan kepimpinannya.
Poon dan Tang dijangka berdepan saingan sengit, dengan Warisan, Perikatan Nasional (PN), Parti Progresif Sabah dan Parti Impian Sabah (PIS) sudah mengumumkan calon mereka bagi kerusi itu.

Saingan lebih sengit di Elopura
Lee menjangkakan saingan lebih sengit di kerusi Elopura, di mana Liau diramalkan berdepan dua lawan kuat – Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong dari DAP dan Calvin Chong dari Warisan, serta calon PN dan PIS.
Pada PRU 2022, Liau bertanding di kerusi Parlimen Batu Sapi, tetapi tewas kepada calon Gabungan Rakyat Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan dengan 4,821 undi.
Penyandang, Chong memenangi kerusi Elopura pada 2018 dan berjaya mempertahankan kerusi itu pada 2020 dengan majoriti selesa 7,683 undi dalam pertandingan enam penjuru, sebelum melompat ke Warisan kemudian.
Lee berkata, setiap calon memiliki kelebihan tersendiri – Liau berpengalaman luas dalam politik, Chong merupakan penyandang, manakala Vivian mempunyai sokongan jentera Pemuda DAP untuk membantunya.
“Sebarang kesilapan boleh memberi kemenangan kepada Chong dari Warisan.”
Chin bagaimanapun percaya Vivian mampu memenangi kerusi itu, mengambil kira popularitinya dan penghormatan masyarakat setempat kepada mendiang bapanya yang juga bekas Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong.
PRK diadakan susulan kematian Stephen pada 2019, di mana Vivian menang dengan majoriti 11,521 undi.
Tetapi, Chin berkata, Vivian perlu menjelaskan kepada pengundi mengapa beliau mahu bertanding di kerusi DUN, sedangkan beliau kini Ahli Parlimen Sandakan.
“Pengundi Cina tidak suka seseorang memegang begitu banyak jawatan.”