Rayu kes pastor Koh, Amri bukan pandang rendah soal nyawa, kata Saifuddin

Rayu kes pastor Koh, Amri bukan pandang rendah soal nyawa, kata Saifuddin

Menteri dalam negeri berkata Jabatan Peguam Negara berpendapat ada asas untuk membuat rayuan.

Raymond Koh and Amri Che Mat
Minggu lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur perintah kerajaan dan polis bayar RM37 juta kepada keluarga Raymond Koh manakala lebih RM3 juta kepada keluarga Amri Che Mat.
PETALING JAYA:
Kerajaan menegaskan tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kehilangan pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat bukan disebabkan memandang rendah soal nyawa atau mengutamakan beban kewangan.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata tindakan itu dibuat berikutan AGC berpendapat terdapat asas untuk membuat rayuan tersebut.

“Peguam negara meneliti penghakiman (yang) dibuat. Maka peguam negara berpendapat ada asas untuk mengemukakan (rayuan) termasuk perkara berkaitan komitmen kewangan.

“Ini bukan bermaksud kerajaan memandang rendah soal nyawa, hak dan kebebasan atau kerajaan nak lebih mengutamakan beban kewangan…tidak sama sekali.

“Ini atas prinsip menegakkan keadilan sejagat. Bila penasihat undang-undang kerajaan iaitu peguam negara berpendapat ada asas buat rayuan, maka itulah yang mereka lakukan,” katanya dalam sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan langkah seterusnya akan diambil kerajaan berhubung keputusan mahkamah terkait Koh dan Amri.

Pada 6 Nov lalu, AGC memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 5 Nov lalu yang mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi berhubung kes kehilangan Amri dan Koh.

AGC dalam dua kenyataan berasingan berkata, rayuan difailkan susulan Hakim Mahkamah Tinggi, Su Tiang Joo, memutuskan polis dan kerajaan bertanggungjawab terhadap kehilangan mereka.

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan kerajaan dan polis membayar RM37 juta kepada keluarga Koh berhubung penglibatan pihak berkuasa dalam penculikannya.

Mahkamah turut memerintahkan kerajaan dan polis membayar lebih RM3 juta kepada keluarga Amri kerana gagal menjalankan siasatan yang sewajarnya terhadap kehilangan beliau.

Koh diculik pada 13 Feb 2017 ketika memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya. Semasa perbicaraan, mahkamah diberitahu lima lelaki bertopeng berpakaian hitam seperti tentera menariknya keluar dari kereta.

Amri, pengasas NGO Perlis Hope, keluar dari rumahnya kira-kira 11.30 malam pada 24 Nov 2016. Keretanya ditemui di kawasan pembinaan berhampiran Sekolah Sukan Bukit Cabang di Perlis pada awal pagi keesokannya.

Sementara itu, Saifuddin berkata siasatan semula kes kehilangan Koh dan Amir sudah dijalankan pasukan penyiasat diketuai pegawai polis berpangkat asisten komisioner (ACP).

Beliau berkata, pasukan penyiasat akan meneliti beberapa laporan termasuk mendapatkan keterangan baharu.

“Polis segera tubuhkan pasukan penyiasat walaupun siasatan sebelum ini tidak pernah ditutup, tetapi kali ini akan diketuai oleh seorang pegawai polis berpangkat ACP, sekarang pun sudah bermula.

“Mereka akan teliti semua kertas siasatan awal, laporan Suhakam, laporan pasukan petugas khas dan akan dapatkan keterangan baru. Kita ajak mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kes ini tampil membantu polis jalankan siasatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.