Harapan Rakyat gantung jawatan Rina Jainal, digugur calon Kukusan

Harapan Rakyat gantung jawatan Rina Jainal, digugur calon Kukusan

Timbalan presiden parti itu digantung jawatan selama tiga tahun kerana didakwa telah melanggar disiplin parti.

rina jainal
Parti Harapan Rakyat Sabah tidak mencalonkan semula Rina Jainal untuk mempertahankan kerusi DUN Kukusan.
PETALING JAYA:
Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) menggantung jawatan dan keahlian Timbalan Presidennya Rina Jainal selama tiga tahun berkuat kuasa serta-merta kerana melanggar disiplin parti.

Setiausaha Agungnya, Christy Chok, berkata keputusan itu dibuat selepas Majlis Tertinggi menerima syor Jawatankuasa Disiplin parti berhubung hasil siasatan yang dijalankan pada 29 Jun tahun lalu.

Menurutnya, Rina telah melakukan beberapa pelanggaran disiplin dan membuat kenyataan terbuka yang didakwa menjejaskan imej parti dan presidennya.

“Walaupun parti memberi ruang kepadanya namun tindakan berterusan beliau telah menghancurkan nama baik parti sehinggakan masyarakat luar khususnya di Kukusan terpengaruh dengan fitnah dan tomahan terhadap parti dan presiden,” katanya dalam kenyataan semalam, menurut Sabah Media.

Chok berkata telah memutuskan untuk tidak mencalonkan semula Rina bagi mempertahankan kerusi DUN Kukusan, selepas berunding dengan Majlis Tertinggi dan pemimpin cawangannya.

Beliau juga berkata, sepanjang hampir dua tahun bersama parti, Rina didapati gagal membawa dan mempromosikan nama PHRS dalam sebarang aktiviti kemasyarakatan serta gerak kerja di kawasan DUN Kukusan.

“Ini termasuk tidak menggunakan atau meletakkan logo dan bendera parti di Pejabat Adun seperti yang wajib dilakukan oleh wakil rakyat yang bernaung di bawah parti,” katanya.

Menurutnya, berikutan banyak aduan diterima daripada ahli di peringkat akar umbi, kepimpinan parti telah memutuskan untuk menugaskan Ketua Bahagian Kukusan Samsiah Usman untuk meneruskan urusan pergerakan ahli dan berkhidmat kepada rakyat di kawasan itu.

“Ini termasuk membabitkan kerja pewartaan empat perkampungan di Lapangan Terbang Lama, Tawau.

“Tindakan penyandang kerusi DUN Kukusan yang tidak bergerak seiring dengan parti telah merencatkan usaha parti memperjuangkan hak pewartaan berkenaan,” katanya.

Rina pernah bersama Warisan sebelum meninggalkan parti itu pada 2022 untuk menyertai Harapan Rakyat, yang merupakan sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.