Dakwah Islam lebih berkesan melalui kerjasama global, titah Raja Muda Perlis

Dakwah Islam lebih berkesan melalui kerjasama global, titah Raja Muda Perlis

Baginda bertitah dalam merealisasikan hasrat murni itu umat Islam perlu bersatu hati dan berganding bahu tanpa mengira bangsa atau sempadan negara.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyantuni deligasi persidangan Majlis Ilmuwan Nusantara kali ke-3 dan Majlis Ilmuwan Afrika 2025 di Kompleks Seri Putra, Kangar. (Gambar Istana Arau)
PETALING JAYA:
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah penyebaran dakwah Islam dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan melalui kerjasama global.

Baginda bertitah, justeru dalam merealisasikan hasrat murni itu umat Islam perlu bersatu hati dan berganding bahu tanpa mengira bangsa mahupun sempadan negara.

Titahnya, segala gerakan dakwah Islam berkongsi satu matlamat sejagat iaitu menegakkan kesucian tauhid, menyebarkan ilmu serta akhlak mulia, dan menyatukan umat di bawah panji keadilan serta rahmat Islam.

“Islam merupakan agama yang menyeru umatnya sentiasa bekerjasama dalam mengajak kepada kebaikan serta pada masa sama mencegah segala bentuk kemungkaran yang bertentangan dengan prinsip Islam.

“Matlamat yang luhur ini berpaksikan kepada al-Quran dan sunnah. Kedua-duanya menjadi jambatan menyatukan umat Islam walaupun berbeza bangsa, negara dan latar belakang mazhab.

“Dengan kesatuan hasrat dan matlamat ini, penyebaran dakwah Islam dapat dilaksanakan lebih tersusun dan berkesan melangkaui sempadan negara dan benua melalui kerjasama dakwah bertaraf global,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian persidangan Majlis Ilmuwan Nusantara (MIN) kali ke-3 dan Majlis Ilmuwan Afrika (MIA) 2025 di Kompleks Seri Putra, Kangar.

Hadir sama Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.

Peserta dari Afrika yang hadir adalah Mufti Rwanda, Sheikh Musa Sindayigaya; Jawatankuasa Islam Ethiopia, Ademi Kamil Faris; wakil Pusat Islam Windhoek Namibia, Ahmad Cheikhyoussef serta Pengurus Jabatan Zakat dan Wakaf Kenya Red Cross, Rufae Abdullahi.

Persidangan bertemakan ‘Ta‘awun Dalam Dakwah: Antara Persamaan dan Perbezaan’ itu dianjurkan Jabatan Mufti Perlis dengan kerjasama MAIPs.

Ia menghimpunkan 23 anggota MIN bersama anggota Nusantara–Africa Scholars Summit 2025 terdiri 10 dari Malaysia, Indonesia (8), Thailand (2), Kemboja (1), Singapura (2), serta masing-masing seorang dari Ethiopia, Namibia, Rwanda dan Kenya.

Penganjuran persidangan itu bertujuan memperkukuh semangat ta‘awun atau kerjasama dalam gerakan dakwah, menjadi platform perbincangan dan pertukaran ilmu antara ilmuwan Islam daripada pelbagai bidang, serta mengukuhkan jalinan strategik antara institusi keagamaan rantau Nusantara dan Afrika.

Melalui usaha itu, semangat persaudaraan Islam diharap dapat terus disemarakkan sekali gus memperkasa misi dakwah sejagat yang berteraskan rahmat, keadilan dan perpaduan umat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.