Rahman Dahlan tarik diri, selepas nafi sengketa dengan Bung

Rahman Dahlan tarik diri, selepas nafi sengketa dengan Bung

Langkah tarik diri Abdul Rahman Dahlan bukan sebab penolakan di DUN Tempasuk, kata Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin.

rahman dahlan dan bung moktar
Timbalan Ketua Umno Sabah, Abdul Rahman Dahlan, tarik diri daripada bertanding pada PRN Sabah ke-17.
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Umno Sabah, Abdul Rahman Dahlan, menarik diri daripada bertanding pada PRN Sabah ke-17, sehari selepas menafikan sengketa dengan ketuanya, Bung Moktar Radin.

Penarikan diri bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu dimaklumkan oleh Bung ketika dihubungi FMT.

“Rahman memaklumkan kepada kita dia tidak berhasrat untuk meneruskan hasrat untuk bertanding, jadi dia menarik diri,” katanya.

Menurut Bung, langkah tarik diri ini bukan sebab penolakan di DUN Tempasuk, selepas namanya diumumkan sebagai calon.

“Kawasan menerima pencalonan beliau. Tidak ada masalah,” katanya.

Di sebalik perkembangan ini, Bung percaya langkah tarik diri itu tidak akan menjejaskan persiapan Barisan Nasional.

“Kita juga ada calon pengganti,” katanya, dan menambah beliau percaya Rahman akan membantu kempen BN di Sabah.

Menurut Bung, kekosongan di Tempasuk akan diisi oleh Ketua Umno Kota Belud Azwan Norjan.

Setakat ini, BN mengumumkan 45 calon yang menurut Bung boleh berubah sehingga penamaan calon pada 15 Nov.

Semalam, Rahman menegaskan hubungan dengan Bung ‘solid’ sebagai satu pasukan, sekali gus menolak spekulasi hubungan mereka retak menuju PRN.

Katanya, perbezaan pandangan dalam parti perkara biasa namun ia tidak menjejaskan kerjasama kepimpinan di peringkat negeri.

Sejak beberapa tahun lalu, Bung dan Rahman beberapa kali dilihat berbalah, termasuk tahun lalu apabila Rahman menjemput Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor ke perasmian mesyuarat Umno Tuara yang dirasmikan Presiden Umno Zahid Hamidi.

Mac lalu, mereka sekali lagi berbalah berhubung kawasan mana patut Rahman bertanding dalam PRN.

Julai lalu, Bung menasihati timbalannya itu supaya berhenti mengungkit perkara lepas, khususnya berkait kegagalan ‘Langkah Kinabalu’ yang diketuai Bung pada 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.