Pandikar yakin menang Pintasan

Pandikar yakin menang Pintasan

Bekas Speaker Dewan Rakyat yakin akan menang DUN Pintasan berdasarkan sokongan akar umbi.

Pandikar Amin Mulia
Presiden Usno Pandikar Amin Mulia tewas di Pintasan pada PRN Sabah 2020, dengan hanya 84 undi. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), Pandikar Amin Mulia, yakin akan menang DUN Pintasan pada PRN Sabah akan datang.

Bekas Speaker Dewan Rakyat itu, yang dinamakan sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan nada ceria berkata keyakinan itu berdasarkan sokongan akar umbi.

“Saya mesti pastikan kemenangan ini. Kalau kamu tidak yakin, kamu mahu bertaruh dengan saya? Ada sesiapa mahu bertaruh?,” katanya, lapor Sinar Harian.

Pandikar mengimbau kekalahan di Pintasan pada PRN 2020, dengan hanya 84 undi di tangan calon Perikatan Nasional, Fairuz Renddan, yang kini bersama Parti Gagasan Rakyat Sabah.

“Ketika itu, saya tersepit antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN)… Sekarang ini, saya calon daripada parti kerajaan,” katanya.

Pandikar yang meraih 2,660 undi mengekori Fairuz dengan rapat, yang memperoleh 2,744 undi, dalam pertandingan enam penjuru.

GRS hari ini mengumumkan ia akan bertanding di 55 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan dalam PRN 29 November.

Pengerusi Hajiji Noor berkata 51 calon akan dinamakan hari ini, dengan baki empat lagi akan diumumkan esok.

Tokoh lain dalam saf calon GRS termasuk pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah, Dr Joachim Gunsalam (Kundasang), Setiausaha Agung GRS, Masidi Manjun (Karanaan), dan Ketua Penerangan GRS, Joniston Bangkuai (Kiulu).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.