‘Inspektor Sheila’ didakwa lagi, kali ini kerana halang tugas polis

‘Inspektor Sheila’ didakwa lagi, kali ini kerana halang tugas polis

Sheila Sharon Steven Kumar, 37, mengaku tidak salah sengaja halang tugas polis jalankan rondaan di depan sebuah restoran di Dang Wangi 4 Nov lepas.

Sheila Sharon Inspektor Sheila
Sheila Sharon Steven Kumar, 37, hari ini didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
PETALING JAYA:
Seorang pegawai polis dikenali sebagai Inspektor Sheila didakwa lagi di Mahkamah Majistret hari ini atas satu tuduhan menghalang tugas anggota polis yang sedang menjalankan rondaan minggu lepas.

Sheila Sharon Steven Kumar, 37, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibaca di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin, lapor Sinar Harian.

Wanita itu dituduh sengaja menghalang Lans Koperal Malvinderjit Singh Teerath Singh, 37, dalam menjalankan tugasnya, iaitu rondaan pencegahan jenayah di depan sebuah restoran di Jalan Sultan Azlan Shah, Dang Wangi, antara 8.15 hingga 8.30 malam 4 Nov lepas.

Sheila dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin, namun dibantah peguam mewakili Sheila, M Manoharan.

Manoharan berhujah, bapa Sheila yang juga seorang pesara polis berpangkat ASP hadir untuk menjaminnya dan kadar itu terlalu tinggi bagi beliau yang perlu menyara tujuh anak.

“Ikat jamin yang tinggi akan membebankan mereka sekeluarga,” katanya, memohon Sheila hanya diberi jaminan sebanyak RM500.

Menurut Manoharan, Sheila kini berdepan tiga kes lain di Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya dan Selayang, yang mana prosidingnya taat dihadiri Sheila sejak 2023.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Aina Azahra membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,600 dengan seorang penjamin.

Hakim turut menetapkan sebutan semula kes pada 20 Jan tahun depan.

Minggu lepas, tular di media sosial video yang dimuat naik wanita itu mendakwa anggota polis terbabit mengugut seorang penunggang motosikal warga Pakistan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.