Raja Perlis terima menghadap duta Jepun

Raja Perlis terima menghadap duta Jepun

Duta Jepun ke Malaysia Shikata Noriyuki memaklumkan hasrat perkenalkan institusi pengajian tinggi di Perlis ke negara itu.

Duta Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki (kiri) bersama Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (depan) dalam majlis mengadap yang berlangsung di Kangar, Perlis semalam. (Gambar Istana Arau)
PETALING JAYA:
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menerima menghadap Duta Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki di Kangar, Perlis semalam.

Dalam majlis tersebut, Noriyuki turut memaklumkan hasrat kedutaan negara itu membantu memperkenalkan institusi pengajian tinggi di Perlis untuk menggalakkan lebih ramai pelajar dari Jepun datang menyambung pengajian di negeri ini.

Kedutaan Jepun juga bersedia mempertimbangkan untuk menyambung kembali kerjasamanya dengan pihak Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) dalam program singkat pertukaran pelajar yang tertangguh sejak Covid-19 melanda dunia pada 2020.

Sebelum ini, untuk beberapa tahun YTSP menghantar wakil pelajar kelahiran Perlis dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Perlis dan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) ke universiti di Jepun.

“Pada masa yang sama, kerjasama baru antara salah sebuah universiti di Jepun yang mempunyai kepakaran dan pengkhususan dalam jurusan pembangunan wanita akan diikhtiarkan untuk berkolaborasi dengan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dalam masa yang terdekat ini.

“YTF dengan slogan ‘Women In Search Of Excellence’ pernah untuk beberapa edisi menghantar seramai enam orang peserta lulusan sarjana muda setiap tahun untuk menghadiri program di Josai International University (JIU), Tokyo,” kata Istana Arau dalam satu kenyataan.

Baginda diiringi Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Setiausaha Kedua Kedutaan Besar Jepun di Kuala Lumpur, Masubuchi Kana.

Pelantikan Noriyuki sebagai duta besar Jepun ke Malaysia pada Nov tahun lalu mencerminkan komitmen berterusan Tokyo untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Malaysia dalam pelbagai bidang strategik merangkumi perdagangan, pelaburan, pendidikan, teknologi, serta pertukaran budaya.

Dengan pengalaman luas dalam diplomasi antarabangsa dan dasar ekonomi, Noriyuki diyakini akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama strategik Jepun–Malaysia, selaras dengan hasrat kedua-dua negara untuk mencapai kemakmuran bersama dan memacu pembangunan serantau yang mampan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.