
Sementara itu, seorang mangsa masih hidup turut ditemukan di kawasan pantai pulau peranginan itu, menjadikan jumlah mangsa yang selamat 14 orang.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis Romli Mustafa berkata, operasi yang disambung semula pada 7.30 pagi tadi melibatkan kawasan pencarian dengan keluasan 272.78 batu nautika persegi.
“Penemuan pertama membabitkan mayat seorang lelaki yang ditemukan oleh orang awam berhampiran Pulau Beras Basah kira-kira 10.40 pagi,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
“Selepas itu, KM Siangin menemukan satu mayat kanak-kanak lelaki terapung di perairan Tanjung Chincin yang kemudiannya dibawa ke Jeti Teluk Ewa.”
Selang beberapa minit kemudian, katanya, KM Siangin turut menemukan satu lagi mayat yang belum dikenal pasti identiti di lokasi sama, manakala pada 11.20 pagi, bot tentera laut melaporkan menemukan satu mayat kanak-kanak lelaki di kawasan Tanjung Belua.
Sementara itu, Romli berkata, Maritim Malaysia bersama semua agensi yang terlibat kekal komited dalam usaha mengesan mangsa lain yang masih belum ditemukan.
“Walaupun keadaan laut bergelora dan keluasan pencarian menjadi cabaran utama, operasi diteruskan dengan mengutamakan aspek keselamatan serta ketepatan pencarian. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata, 130 pegawai daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi pencarian hari ini dengan kekuatan 11 aset.
Sementara itu, pihak berkuasa Thailand yang turut melakukan operasi mencari dan menyelamat di perairan negara itu setakat ini menemukan sembilan mayat.