
Kao berkata, Malaysia mengambil alih kerusi pengerusi ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik, termasuk perang di Ukraine dan Gaza, serta ketidaktentuan akibat tarif perdagangan dikenakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
“Bukan mudah bagi Asean untuk mengharunginya, tetapi saya boleh katakan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kami berjaya menanganinya,” katanya kepada wartawan semasa Forum Media Asean.
Beliau berkata, kemasukan Timor-Leste sebagai anggota baharu merupakan tugas besar kerana melibatkan banyak rundingan dan mesyuarat, dan memuji usaha diplomasi Anwar dalam merundingkan gencatan senjata konflik sempadan Kemboja dan Thailand yang tercetus pada Julai lalu.
“Beliau menghubungi beberapa pemimpin melalui diplomasi telefon untuk mendapatkan sokongan pemimpin Asean bagi bersetuju dengan gencatan senjata dan kemudian menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur. Itu satu lagi pencapaian penting.
“Kami tidak dapat bayangkan kemusnahan yang bakal berlaku terhadap kedua-dua negara dan Asean sekiranya konflik itu berlarutan. Dengan termeterainya perjanjian damai itu, ada banyak harapan bahawa Asean akan terus memberi tumpuan kepada keamanan dan kestabilan,” katanya.
Dari segi ekonomi, Kao berkata antara pencapaian penting ialah menandatangani perjanjian Protokol Naik Taraf Kawasan Perdagangan Bebas Asean-China 3.0, sambil memuji komitmen pemimpin Asean dalam menyusun semula dan mengukuhkan ekonomi rantau ini.
Kao turut memuji Malaysia kerana menghimpunkan pemimpin dari pelbagai benua semasa Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan mesyuarat berkaitan, yang menurutnya telah mengukuhkan kredibiliti dan kedudukan antarabangsa Asean.
Kemasukan Timor-Leste dan cabaran masa depan
Sementara itu, Kao berkata kemasukan Timor-Leste merupakan satu pencapaian penting dalam aspirasi Asean untuk mewujudkan kemakmuran bersama, memandangkan negara itu adalah yang terakhir diiktiraf sebagai berdaulat dalam lingkungan geografi Asean.
“Timor-Leste memohon untuk menjadi anggota Asean pada 2011 dan menjadi pemerhati pada 2022, jadi mereka mengambil masa 14 tahun untuk menjadi anggota penuh,” katanya sambil menambah bahawa ekonomi negara bernilai USD1.88 bilion itu kini akan mula membuat sumbangan tahunan wajib seperti yang ditetapkan kepada semua negara anggota.
Beliau berkata, Asean secara keseluruhannya menjalankan pelbagai program pembinaan kapasiti untuk Timor-Leste bagi memastikan negara itu dapat memanfaatkan keanggotaan baharunya sambil memikul tanggungjawab baharu.
“Namun, ia tetap baik untuk Timor-Leste menyertai Asean. Pasaran Asean mempunyai hampir 700 juta penduduk dan membuka peluang pelaburan kepada mereka. Ini baik untuk pembangunan infrastruktur dan penciptaan pekerjaan,” katanya.
Bagaimanapun, Kao mengakui cabaran yang bakal dihadapi Timor-Leste apabila negara itu bersiap untuk memegang jawatan pengerusi Asean pada 2029, memandangkan ia memerlukan sumber yang besar untuk menganjurkan sidang kemuncak dan acara berkaitan.
“Timor-Leste masih mempunyai perjalanan panjang untuk meratifikasi konvensyen, perjanjian dan instrumen blok ini, terutamanya di bawah Komuniti Ekonomi Asean. Itu perkara yang memerlukan masa dan pengalaman.
“Dan menjadi pengerusi Asean bukan tugas mudah — ia melibatkan penganjuran purata 500 mesyuarat setiap tahun.
“Saya tidak mahu mendahului keadaan, tetapi ini perkara yang perlu dibincangkan dalam bulan-bulan akan datang antara Timor-Leste dan negara anggota lain. Namun, Timor-Leste mempunyai pilihan untuk menangguhkan satu pusingan giliran sebagai pengerusi, seperti yang pernah dilakukan oleh beberapa negara sebelum ini,” katanya.