
Pengerusi GRS Hajiji Noor mengesahkan tarikh itu ketika ditanya mengenai beberapa parti lain yang dijangka mengumumkan calon mereka lebih awal bermula hujung minggu ini.
“Terpulang kepada mana-mana parti untuk umumkan calon masing-masing, tapi bagi GRS, kita sudah tetapkan 12 Nov untuk buat pengumuman rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Pelan Strategik Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan Daerah Kecil Menumbok 2025-2035, Penyerahan Kunci Rumah Sabah Maju Jaya, serta perasmian Masjid Nur Ihsan di Menumbok.
Hajiji yang juga ketua menteri interim berkata, pengagihan kerusi antara parti komponen telah dimuktamadkan dan calon yang dipilih adalah mereka yang diyakini mampu membawa kemenangan kepada gabungan itu.
“Kita hanya letak calon yang boleh menang, termasuk di Kuala Penyu. Calonnya saya sudah bagi ‘hint’ tadi dan kita yakin GRS akan menang dalam pilihan raya kali ini,” katanya.
Beliau berkata, jika GRS kembali membentuk kerajaan negeri, tumpuan akan diberikan kepada pelaksanaan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi memastikan kesinambungan projek pembangunan yang telah dirancang.
“Kita mahu pastikan hala tuju pembangunan negeri terus berjalan tanpa gangguan. SMJ 2.0 akan jadi landasan untuk memperkukuh ekonomi rakyat dan negeri,” tambahnya.
PRN17 akan diadakan pada 29 Nov, dengan hari penamaan calon pada 15 Nov manakala pengundian awal ditetapkan pada 25 Nov.
Berhubung perkembangan lain, Hajiji turut bersetuju cadangan pembinaan jambatan menghubungkan Wilayah Persekutuan Labuan dengan tanah besar Sabah dibincangkan semula bersama kerajaan persekutuan.
Katanya, projek itu penting bukan sahaja bagi memudahkan perhubungan antara Labuan dan Sabah, tetapi juga berpotensi melonjakkan ekonomi di daerah kecil Menumbok dan Kuala Penyu.