
Pengguna terbabit mengakui tersilap lapor fakta mengenai dakwaan membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar, menerusi kenyataan hari ini.
“Saya kini faham bahawa berita sebenar adalah penafian daripada menteri sendiri mengenai isu tersebut, dan saya telah tersilap lapor fakta tersebut,” katanya.
Dia menjelaskan hantaran tersebut telah dipadamnya lebih awal selepas mendapati sumber asal pautan gambar berkenaan daripada Pertubuhan Muafakat Pondok SeMalaysia turut telah diturunkan daripada laman mereka.
“Saya dengan ikhlas dan tanpa syarat menarik balik sepenuhnya kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada YB atas segala kata-kata yang disiarkan serta salah faham yang timbul akibat hantaran itu.
“Saya juga dengan rendah hati memohon pertimbangan dan kemaafan daripada YB agar tidak mengenakan sebarang tuntutan kewangan atau kos terhadap saya,” katanya, menyatakan tindakan itu akibat terpengaruh dengan emosi maklumat yang tidak sahih tanpa niat jahat terhadap sesiapa.
Minggu lalu, media melaporkan Na’im memberi amaran akan memfailkan saman fitnah RM10 juta terhadap Hafiz susulan dakwaan tersebut.
Dalam surat tuntutan dikeluarkan firma guaman Akberdin & Co kepada Hafiz, peguam Na’im menyatakan hantaran media sosial yang menuduh menteri itu mengarahkan sekolah pondok tidak berdaftar ditutup adalah palsu, berniat jahat dan berunsur fitnah.
Menurut surat itu, pihak Na’im menuntut Hafiz menarik balik kenyataan tersebut, mengakui kesilapannya, dan mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka di semua akaun media sosial serta laman webnya selama 30 hari.
Kegagalan mematuhi tuntutan itu akan mengakibatkan tindakan undang-undang diambil bagi menuntut ganti rugi RM10 juta dan mendapatkan injunksi bagi menghalangnya daripada menerbitkan sebarang kenyataan fitnah lanjut terhadap menteri berkenaan.
Dalam hantarannya, Hafiz dilaporkan mengkritik Na’im kerana didakwa menutup sekolah-sekolah pondok sambil mengabaikan isu-isu serius di sekolah kebangsaan, seperti kes rogol, bunuh, buli dan pengambilan alkohol.