Utusan Malaysia hargai permohonan maaf Nga akhiri kemelut

Utusan Malaysia hargai permohonan maaf Nga akhiri kemelut

Profesor UCSI Tajuddin Rasdi sifatkan tindakan menteri KPKT sebagai langkah 'berjiwa besar'.

nga kor ming
Nga Kor Ming sebelum ini dikecam hebat selepas menegur keras wartawan Utusan Malaysia yang mempersoalkan penggunaan nama program ‘I Lite U’ dalam bahasa Inggeris. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Utusan Malaysia menyambut baik permohonan maaf Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berhubung kenyataannya terhadap seorang wartawan, tindakan yang turut dipuji ahli akademik Universiti UCSI Tajuddin Rasdi.

Pengarang Kumpulan Media Mulia – penerbit Utusan – Azlan Jaafar berkata, kesediaan Nga memohon maaf kepada media mengakhiri kemelut itu, sekali gus membolehkan semua pihak meneruskan tugas masing-masing tanpa sebarang gangguan.

“Utusan Malaysia berterima kasih kepada menteri perumahan dan kerajaan tempatan kerana mengakhiri semua polemik ini.

“Kami juga berterima kasih kepada semua pihak, daripada ahli politik sehingga orang biasa, yang tampil mempertahankan wartawan Utusan dan peranan media secara keseluruhan di Malaysia.

“Kami berharap semua pihak mendapat iktibar yang berguna daripada insiden ini,” katanya dalam kenyataan.

Azlan menambah, pihak pengurusan Utusan memilih berdiam diri sepanjang isu ini bagi mengelak keadaan menjadi lebih rumit.

Dalam pada itu, Tajuddin menyifatkan tindakan Nga sebagai langkah ‘berjiwa besar’.

“Dalam ajaran Islam, insan yang sanggup mengalah untuk mengelak pertelingkahan walaupun berada di pihak yang benar adalah antara yang terbaik di sisiNya,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, rakyat Malaysia perlu sentiasa bersedia memohon maaf sekiranya berlaku salah faham melibatkan isu perkauman, agama atau simbol kebangsaan.

Nga sebelum ini dikecam hebat selepas menegur keras wartawan Utusan Malaysia yang mempersoalkan penggunaan nama program ‘I Lite U’ dalam bahasa Inggeris di majlis prapelancaran projek kementeriannya di Kuala Lumpur.

Menteri DAP itu dilaporkan berkata, beliau akan menghubungi pengarang wartawan itu kerana soalannya menyentuh ‘kepentingan nasional’.

Ekoran kritikan awam, Tajuddin menasihatkan Nga supaya membuat permohonan maaf kerana menyifatkan insiden itu sekadar salah faham yang boleh dileraikan segera.

Dalam sidang media pada 2 Nov, Nga menarik balik kenyataan tersebut dan menyatakan beliau tidak berniat menyinggung mana-mana pihak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.