Kemelut Bersatu tak jejas agenda perpaduan Melayu, kata Dr M

Kemelut Bersatu tak jejas agenda perpaduan Melayu, kata Dr M

Bekas perdana menteri berkata, pertikaian dalaman parti tidak gagalkan agenda lebih besar untuk menyatupadukan bangsa Melayu.

tun mahathir mohamad
Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa kedua-dua Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Hamzah Zainudin mempunyai tempat dalam wadah perpaduan Melayu yang lebih besar.
PUTRAJAYA:
Dr Mahathir Mohamad tidak mengambil serius kemelut dalaman Bersatu, menegaskan ia tidak akan menjejaskan agenda perpaduan Melayu.

Bekas perdana menteri itu berkata, sebarang pertikaian dalam parti merupakan isu dalaman dan tidak wajar dianggap sebagai bibit perpecahan dalam perjuangan utama untuk memartabatkan bangsa Melayu.

“Itu perpecahan dalam parti mereka, tapi tak ada perpecahan dari segi perjuangan untuk bangsa Melayu,” katanya pada sidang media.

Menjawab pertanyaan sama ada beliau menyebelahi sama ada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin atau timbalannya, Hamzah Zainudin, Mahathir menegaskan bahawa kedua-dua pemimpin itu mempunyai tempat dalam wadah perpaduan Melayu yang lebih luas.

“Kita tak ambil kira, mereka kedua-duanya Melayu, dalam payung besar, dia akan menyertai payung besar sebagai orang Melayu, bukan sebagai bersatu, bukan sebagai pemimpin dan lain-lain,” katanya.

Kenyataan Mahathir itu dibuat di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak dalam Bersatu, susulan pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kerana didakwa melanggar perlembagaan dan tatakelakuan parti.

Lembaga disiplin parti turut menyingkirkan empat ketua bahagian iaitu Azrudin Idris (Hang Tuah Jaya), Faizal Asmar (Pengerang), Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Isa Saidi (Ampang).

Tindakan tersebut menimbulkan kegelisahan dalam kalangan ahli, mendorong 16 Ahli Parlimen Bersatu mengutus surat bertarikh 23 Okt mendesak Muhyiddin menangani ‘isu dalaman’ bagi mengelakkan parti ‘menjadi mangsa ego mana-mana pemimpin’.

Menurut Ahli-ahli Parlimen terbabit, tindakan disiplin yang ‘tidak wajar’ itu ‘mencemarkan imej dan momentum parti’ selain menjejaskan sokongan rakyat terhadap cadangan belanjawan bayangan Perikatan Nasional yang dibentangkan oleh Hamzah.

Mereka turut membantah keputusan parti memanggil Hamzah menghadap lembaga disiplin, disifatkan sebagai ‘langkah yang amat tidak munasabah’.

Menerusi episod audiosiar bersama bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim, Wan Saiful mendakwa, Hamzah dipanggil untuk memberi penjelasan mengapa beliau gagal ‘mengawal’ Wan Saiful, namun Hamzah tidak hadir ke sesi tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.