
Pengerusi Md Raus Sharif berkata, jawatankuasa itu mengadakan mesyuarat pertama hari ini dan akan berusaha menyiapkan siasatan dalam tempoh tersebut.
“Kami akan berusaha sedaya upaya untuk menyiapkan siasatan serta menyediakan laporan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam tempoh enam minggu,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Raus turut mengumumkan pelantikan anggota jawatankuasa lain iaitu bekas hakim Mahkamah Rayuan Kamaludin Md Said, bekas ketua pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) Yusof Ismail, serta peguam kanan Thavalingam C Thavarajah yang bertindak sebagai setiausaha.
Katanya, semua ahli jawatankuasa itu tidak akan menerima sebarang bentuk imbuhan dalam melaksanakan tugasan mereka.
Mengulas lanjut, Raus berkata kemudahan pentadbiran dan bantuan sekretariat akan disediakan oleh Tetuan Hafarizan Wan & Aisha Mubarak (peguambela & peguamcara) bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan.
Minggu lalu, FAM mengumumkan pelantikan bekas ketua hakim negara itu mengetuai jawatankuasa tersebut bagi memastikan siasatan dijalankan secara adil, telus dan profesional, tanpa penglibatan mana-mana individu daripada persatuan.
Sebelum ini, FAM mengesahkan wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen pemain yang dilakukan oleh kakitangannya.
Pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui, dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Pada masa sama, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, yang kini digantung tugas menegaskan tujuh pemain berdarah warisan dikaitkan dengan isu pemalsuan dokumen itu adalah rakyat Malaysia yang sah.
Bagaimanapun, Fifa dalam laporan rasmi bertajuk ‘Notification of the Grounds of the Decision’ bertarikh 6 Okt menjelaskan, hukuman dikenakan berdasarkan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa melibatkan kes pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.
Susulan pelanggaran itu, Fifa mengenakan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM10,000) serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.