
Ahli Parlimen Merbok Nazri Abu Hassan berkata, ketika menandatangani surat tersebut, beliau tidak sedar bahawa Wan Saiful dan Wan Fayhsal telah mengemukakan rayuan terhadap tindakan tatatertib yang diambil terhadap mereka.
Katanya, beliau menghormati hak kedua-dua tokoh tersebut untuk membuat rayuan dan yakin lembaga disiplin serta Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu akan meneliti perkara itu dengan adil dan teliti.
Nazri, Ahli Parlimen penggal pertama, menegaskan bahawa tandatangannya itu bukan isyarat menentang pucuk pimpinan Bersatu mahupun keputusannya.
“Sebagai Ahli Parlimen dan ahli parti, saya kekal berpegang kepada prinsip bahawa setiap tindakan dan keputusan perlu dibuat mengikut saluran yang betul,” katanya dalam kenyataan.
“Dalam masa yang sama, saya juga ingin menasihati kedua-dua sahabat saya agar menangguhkan sebarang program atau kenyataan awam sepanjang tempoh rayuan berlangsung, bagi menjaga kredibiliti proses dan nama baik parti.
“Saya kekal setia dan percaya kepada kepimpinan Muhyiddin serta seluruh struktur pimpinan parti yang sah. Bersatu perlu kekal fokus kepada perjuangan rakyat dan tidak terperangkap dalam polemik dalaman yang hanya menguntungkan pihak lawan.”
Seramai 16 Ahli Parlimen Bersatu menandatangani surat yang dihantar kepada Muhyiddin bagi menzahirkan kebimbangan berhubung kemelut dalaman parti dan menyifatkan tindakan terhadap Wan Saiful dan Wan Fayhsal sebagai ‘tidak bijak’.
Surat itu menyatakan tindakan yang diambil terhadap kedua-dua pemimpin itu dibuat pada ‘masa yang janggal’ dan boleh dilihat bertujuan mengganggu momentum sokongan rakyat terhadap belanjawan bayangan yang dicadangkan oleh Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin.
Selain Nazri, surat itu turut ditandatangani oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah, Ketua Wanita Bersatu Mas Ermieyati Samsudin (Ahli Parlimen Masjid Tanah), dan bekas timbalan menteri Rosol Wahid (Ahli Parlimen Hulu Terengganu).
Tokoh lain yang turut menandatangani kenyataan itu terdiri daripada Khlir Nor (Ahli Parlimen Ketereh); Islahuddin Abas (Mersing); Fathul Huzir Ayob (Gerik); Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu); Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah); Abdul Khalib Abdullah (Rompin); Nordin Ahmad Ismail (Lumut); Zakri Hassan (Kangar); Muslimin Yahaya (Sungai Besar); Roslan Hashim (Kulim-Bandar Baharu); Azahari Hasan (Padang Rengas); dan Kalam Salan (Sabak Bernam).
Ketegangan dalaman Bersatu kian memuncak susulan pemecatan Wan Saiful dan penggantungan Wan Fayhsal, didakwa kerana melanggar perlembagaan dan tatakelakuan parti.
Lembaga disiplin Bersatu juga memecat empat ketua bahagian dan memanggil beberapa pemimpin untuk sesi pendengaran, termasuk Hamzah dan Saifuddin.