Dr M jelaskan mengapa PAS tidak mahu umum calon PM

Dr M jelaskan mengapa PAS tidak mahu umum calon PM

Presiden PAS Hadi Awang sebelum ini menegaskan fokus utama parti itu untuk memenangi pilihan raya umum terlebih dahulu.

Dr Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad berkata PAS bimbang menamakan calon perdana menteri terlalu awal boleh menjejaskan usaha parti itu mendapatkan sokongan lebih luas pada PRU16.
PETALING JAYA:
PAS memilih tidak menamakan calon perdana menteri kerana menyedari parti itu belum mempunyai sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian, kata Dr Mahathir Mohamad.

Dalam temu bual eksklusif bersama FMT, bekas perdana menteri itu berkata PAS sedar mereka tidak mampu memenangi kerusi yang cukup untuk menguasai Putrajaya tanpa sokongan lebih meluas, terutama di luar kawasan tradisi mereka di Pantai Timur.

Menurutnya, menamakan calon perdana menteri terlalu awal boleh menyebabkan parti itu sukar meraih sokongan lebih besar daripada pengundi dari negeri-negeri lain.

“PAS tahu mereka tidak boleh jadi perdana menteri hanya dengan kekuatan sendiri. Mereka perlukan sokongan parti lain di seluruh negara.

“Jumlah kerusi yang mereka ada tidak cukup untuk membentuk kerajaan persekutuan. Jadi mereka perlu bergabung dengan parti lain. Sebab itulah mereka tidak menamakan calon Perdana Menteri.

“Mereka boleh terima jika ada beberapa nama dipertimbangkan dan terbuka memilih mana-mana yang paling sesuai.

“Tapi mereka lebih berhati-hati untuk umumkan awal kerana bimbang itu akan menyukarkan mereka mendapat sokongan sepenuhnya,” kata Mahathir.

Pada masa ini, PAS mempunyai 43 kerusi di Dewan Rakyat, menjadikannya parti dengan kerusi terbanyak — mengatasi DAP, PKR, dan juga rakan gabungannya dalam Perikatan Nasional (PN), Bersatu.

Isu calon perdana menteri dari PN turut menjadi tumpuan menjelang PRU16, yang perlu diadakan selewat-lewatnya awal 2028.

Pada 1 Okt lalu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata parti itu masih belum memutuskan calon untuk jawatan terbabit dan perkara berkenaan juga belum dibincangkan di peringkat PAS mahupun PN.

Presiden PAS Hadi Awang sebelum ini turut menegaskan parti itu mahu memberi tumpuan kepada kemenangan PRU16 terlebih dahulu, sebelum memikirkan calon perdana menteri.

Semasa muktamar parti pada September, Hadi berkata PAS mempunyai ramai tokoh yang berkelayakan untuk memegang jawatan tersebut, namun mereka tidak mahu menunjolkan diri kerana menganggap tugas itu sangat berat.

Pada perhimpunan agung tahunan Bersatu yang berlangsung sebelum itu,parti itu menamakan Presidennya Muhyiddin Yassin, sebagai calon perdana menteri.

Bagaimanapun, Pengarah Pilihan Raya PN, Sanusi Nor kemudian mengingatkan keputusan sedemikian harus mendapat persetujuan semua parti dalam gabungan PN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.