KJ perlu tawar ‘sesuatu’ jika tanding Kepala Batas, kata penganalisis

KJ perlu tawar ‘sesuatu’ jika tanding Kepala Batas, kata penganalisis

Syaza Shukri dari UIAM berkata Khairy Jamaluddin tidak boleh terlalu bergantung nostalgia bapa mentua Abdullah Ahmad Badawi jika tanding kerusi di Pulau Pinang.

khairy jamaluddin
Khairy Jamaluddin dikatakan akan kembali menyertai Umno dalam masa terdekat menjelang PRN Sabah.
PETALING JAYA:
Khairy Jamaluddin yang dikaitkan spekulasi bertanding di Parlimen Kepala Batas pada PRU16 perlu menawarkan sesuatu yang baharu dan relevan jika mahu merampas semula kerusi itu daripada PAS, kata penganalisis.

Syaza Shukri berkata nostalgia hubungan keluarga antara kerusi itu dengan bekas perdana menteri, Abdullah Ahmad Badawi, yang juga bapa mentua Khairy, mungkin tidak lagi memadai untuk menarik sebanyak mungkin sokongan pengundi.

Katanya, walaupun Kepala Batas pernah menjadi kubu kuat Umno, situasi kini berubah selepas PAS merampas kerusi itu pada PRU15, selain penguasaan dua daripada tiga kerusi DUN iaitu Pinang Tunggal dan Penaga, dengan majoriti agak memberangsangkan.

Pada PRU lalu, Siti Mastura Muhammad menewaskan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Reezal Merican Naina Merican dengan majoriti 2,867 undi.

“Kalau Khairy bertanding di Kepala Batas, beliau perlu menawarkan sesuatu yang lebih segar berbanding sekadar nostalgia atau simbolik kerusi itu pernah berkaitan dengan keluarga Abdullah.

“Pengundi sekarang melihat tawaran masa depan. Jika Perikatan Nasional (PN) sudah menjadi pilihan pengundi, Khairy tidak boleh hanya bergantung pada nama dan sejarah,” kata Syaza kepada FMT.

Syaza memberi contoh kekalahan Nurul Izzah Anwar di Permatang Pauh yang juga sinonim dengan Anwar Ibrahim pada PRU15 sebagai bukti faktor warisan politik tidak lagi menjamin kemenangan dalam landskap politik semasa.

Beliau mengulas laporan media yang menyebut Khairy, bekas Ahli Parlimen Rembau mungkin dipertimbangkan bertanding di Kepala Batas jika kembali menyertai Umno.

Khairy, yang juga bekas ketua Pemuda Umno, sebelum ini dipecat pada Januari 2023 atas dakwaan sabotaj parti dalam PRU15. Difahamkan, Presiden Zahid Hamidi, menawarkan ruang untuknya kembali ke parti itu menjelang PRN Sabah.

Syaza turut berpandangan, jika bukan Kepala Batas, Barisan Nasional (BN) boleh mempertimbangkan Khairy bertanding semula di kerusi bandar, seperti yang pernah dilakukan di Sungai Buloh pada PRU lalu.

“Khairy mempunyai kekuatan menarik sokongan pengundi bandar yang mahukan pemimpin moden, berwibawa dan pragmatik. Di Sungai Buloh, walaupun tewas, majoriti PH merosot dengan ketara kerana pendekatan kempen beliau berkesan,” katanya.

Pada PRU15, Khairy kalah kepada calon PH, R Ramanan, dengan majoriti 2,693 undi berbanding majoriti lebih 26,000 undi dimenangi PH sebelum itu.

Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula berkata jika Khairy benar-benar mahu ‘menawan semula’ Kepala Batas, beliau perlu membina naratif politik yang mampu menarik pengundi muda dan atas pagar.

“Dominasi naratif PAS dan PN di kawasan seperti Kepala Batas lebih kukuh.

“Khairy perlu tampil dengan mesej segar, bukan sekadar bergantung pada pengaruh lama Umno atau hubungan keluarga,” katanya.

Menurut Ariff, usaha itu juga memerlukan strategi komunikasi konsisten, pengukuhan rangkaian akar umbi dan penampilan Khairy sebagai ejen perubahan dalam Umno.

“Jika Khairy berjaya tampil sebagai wajah pembaharuan, barulah boleh tercetus momentum untuk merampas kembali kerusi itu. Jika tidak, laluan beliau tetap sukar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.