
Dalam surat bertarikh 23 Okt ditandatangani 16 Ahli Parlimen Bersatu dan dialamatkan kepada Presiden Muhyiddin Yassin, menyebut agar beliau segera menangani ‘isu dalaman’ dalam Bersatu bagi mengelakkan parti itu daripada ‘menjadi mangsa keegoan mana-mana pemimpin’.
Seorang daripada penandatangan surat itu mengesahkan kandungan surat itu, yang dilihat FMT.
“Suka kami menarik perhatian YB Tan Sri Muhyiddin kepada perkembangan semasa isu dalaman Bersatu yang menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan kami Ahli Parlimen Bersatu, bahawa parti ini akan dilihat lemah di kaca mata rakyat.
“Kami percaya YB Tan Sri mempunyai jiwa besar untuk memahami dan menangani kebimbangan serius kami dengan segera membetulkan keadaan ini.”
Penandatangan berkenaan mengkritik pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menyifatkan keputusan itu ‘tidak bijak’ dan merosakkan imej serta momentum parti.
Mereka mendakwa tindakan disiplin itu telah mengganggu momentum sokongan rakyat terhadap Gagasan Belanjawan Perikatan Nasional (PN), yang baru-baru ini dibentangkan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin.
“Perhatian seluruh negara telah lari daripada Gagasan Belanjawan PN, sebaik sahaja tindakan pemecatan dan penggantungan diumumkan,” menurut surat berkenaan.
Ahli-ahli Parlimen itu juga melihat tindakan tersebut percubaan melemahkan persediaan PN menjelang PRN Sabah, pada 29 Nov.
Mereka seterusnya membantah keputusan parti memanggil Hamzah menghadap Lembaga Disiplin Bersatu, menyifatkannya sebagai ‘tindakan yang langsung tidak masuk akal’.
Dalam temu bual audio siar bersama bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim semalam, Wan Saiful mendakwa Hamzah yang merupakan timbalan presiden Bersatu, telah dipanggil Lembaga Disiplin untuk menjelaskan mengapa tidak dapat ‘mengawal’ beliau (Wan Saiful), namun Hamzah tidak hadir.
Baru-baru ini, Wan Saiful dipecat Bersatu kerana melanggar perlembagaan dan kod etika parti. Wan Fayhsal juga digantung atas alasan sama.
Lembaga Disiplin Bersatu turut memecat empat ketua bahagian, iaitu Azrudin Idris (Hang Tuah Jaya), Faizal Asmar (Pengerang), Fadhli Ismail (Ipoh Timur), dan Isa Saidi (Ampang).