
Beliau berkata, langkah itu juga akan membuka potensi bagi kerjasama seumpama itu pada masa akan datang.
“Sabah, melalui SMJ Energy Sdn Bhd (SMJ Energy), telah menandatangani perjanjian muktamad dengan Petronas LNG Sdn Bhd, anak syarikat Petronas, bagi memformalisasi pengambilalihan 25% kepentingan ekuiti dalam Petronas PFLNG 3 Sdn Bhd,” katanya dalam kenyataan.
Langkah itu susulan pemeteraian Kepala Perjanjian bagi cadangan pengambilalihan tersebut disaksikan Hajiji dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Petronas Tengku Muhammad Taufik, di Kuala Lumpur pada 17 Julai lepas.
Hajiji berkata, Petronas PFLNG 3 sedang membangunkan kemudahan gas asli cecair terapung berhampiran pesisir (FLNG) bernilai USD3.1 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang.
“Dijangka memulakan operasi pada separuh kedua 2027, PFLNG 3 direka dengan kapasiti pengeluaran 2 juta tan setahun (2.0 MTPA).
“Pelaburan strategik ini merupakan tambahan terkini kepada portfolio pelaburan pelbagai SMJ Energy yang sedia ada, dengan syarikat itu kini memegang 50% kepentingan penyertaan dalam Samarang Production Sharing Contract, 10% kepentingan ekuiti dalam Petronas LNG 9 Sdn Bhd, 25% kepentingan ekuiti dalam Petronas Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd (loji petrokimia Samur), serta pemilikan penuh Sabah International Petroleum Sdn Bhd (SIP) yang mengendalikan aset FPSO dan FSO,” katanya.