Kritikan berterusan perjanjian dagangan didorong agenda politik, kata Anwar

Kritikan berterusan perjanjian dagangan didorong agenda politik, kata Anwar

Perdana menteri bidas dakwaan Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad, tegaskan perjanjian itu untuk pelihara kepentingan jangka masa panjang negara.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sangkal dakwaan Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad berhubung perjanjian dagangan Malaysia-AS.
GYEONGJU:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim terus mempertahankan perjanjian perdagangan yang dimeterai Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, menyifatkan kritikan daripada bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad sebagai bermotifkan politik.

Menurut Anwar, perkara itu telahpun diterangkan dengan jelas berulang kali di Dewan Rakyat oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz.

Beliau berkata, dasar luar Malaysia yang seimbang mendapat sambutan baik di persada antarabangsa seperti di forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec).

“Jika mereka pilih untuk terus serangan, itu atas pertimbangan politik,” katanya ketika ditemui wakil media selepas hari pertama Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Apec hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Muhyiddin, yang menyifatkan perjanjian itu penuh dengan peruntukan ‘jerangkap samar, bom jangka’ sementara Mahathir pula menyatakan beliau tidak menduga akan ‘menyaksikan kemerdekaan negara tergadai’ sepanjang beliau hidup.

Para pemimpin pembangkang lain turut mempersoalkan keperluan Malaysia ‘menerima pakai atau mengekalkan’ sebarang larangan atau sekatan yang dikenakan oleh AS terhadap negara lain yang dianggap mengancam keselamatan ekonomi atau nasionalnya.

Anwar berkata, dakwaan Dr Mahathir tidak perlu diambil serius kerana ia mungkin tidak berasaskan fakta, sebaliknya hanya bersandarkan taklimat yang tidak tepat daripada pihak lain.

“Sudah tentulah beliau tidak akan teliti setiap satunya secara terperinci, buat analisis, atau menelusuri kandungannya,” katanya.

Berkenaan Muhyiddin, Anwar berkata, beliau tidak boleh menyalahkan presiden Bersatu itu juga kerana ‘beliau perlu fokus ketika (partinya) sedang berpecah-belah’, merujuk pergolakan dalaman yang sedang dihadapi Bersatu.

Beliau menambah, Malaysia perlu menarik pelaburan asing, teknologi tinggi dan kecerdasan buatan bagi memperkasa masa depan ekonominya.

“Tidak menjadi soal sama ada dengan syarikat dari AS, China, mahupun Korea. Kita perlu bersiap siaga dan pastikan generasi muda kita peroleh manfaat daripadanya.

“Dan untuk capai hasrat itu, kita perlukan kesabaran dan kebijaksanaan, bukan kemarahan, bukan pertikaman lidah yang berterusan dan penuh kebencian,” tegasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.