
Hakim Syahliza Warnoh menyampaikan keputusan itu pagi tadi dengan memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh, Ismanira Abdul Manaf, 30 tahun.
Ismanira berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun, denda RM50,000, atau kedua-duanya sekali.
Prosiding diteruskan dengan hujahan mitigasi oleh peguam bela Ismanira dan hujahan pemberatan oleh pihak pendakwaan.
Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, didakwa tahun lalu kerana didakwa mengabaikan anak mereka sehingga boleh menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa berlaku di PJU Damansara Damai antara tengah hari 5 Dis 2023 – ketika Zayn dilaporkan hilang – sehingga 9.55 malam keesokan harinya, apabila mayatnya ditemui di sebuah anak sungai berhampiran kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai.
Julai lalu, Zaim dibebaskan selepas pihak pendakwaan gagal mengemukakan kes prima facie terhadapnya.
Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zubairi, manakala Ismanira diwakili oleh peguam M Haresh, H Lavanesh dan Ramzani Idris.