Libat urus EAC-panel penilai perkasa keunggulan kejuruteraan Malaysia

Libat urus EAC-panel penilai perkasa keunggulan kejuruteraan Malaysia

Sesi tahunan itu menghimpunkan lebih 200 ahli panel penilai aktif mewakili sektor akademia, industri dan badan profesional seluruh negara.

Pengerusi Majlis Akreditasi Kejuruteraan Ahmad Sabirin Arshad (tiga kiri) dalam perasmian sesi libat urus bersama panel penilai 2025 di Putrajaya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) menganjurkan sesi libat urus bersama panel penilai 2025 dalam usaha memperkukuh keunggulan kejuruteraan negara supaya setanding di pentas global.

Sesi dikendalikan Majlis Akreditasi Kejuruteraan (EAC) bawah LJM itu disempurnakan Pengerusinya Ahmad Sabirin Arshad di Putrajaya hari ini.

Ia menghimpunkan lebih 200 ahli panel penilai aktif mewakili sektor akademia, industri dan badan profesional dari seluruh negara, menjadikannya platform penting memperkukuh ekosistem pendidikan serta amalan kejuruteraan di Malaysia.

Sesi tahunan itu juga berperanan sebagai wadah strategik bagi memperkukuh kerjasama dan penyelarasan antara EAC dan panel penilai dalam memastikan proses akreditasi program kejuruteraan negara terus menepati piawaian antarabangsa, sekali gus menyokong usaha melahirkan graduan kejuruteraan berkemahiran tinggi, beretika dan berdaya saing global.

Ketika berucap merasmikan majlis itu, Sabirin berkata kekuatan sistem akreditasi terletak pada dedikasi bersama penilai dan institusi dalam menegakkan kecemerlangan serta integriti pendidikan kejuruteraan.

“EAC terus komited memperkasa ekosistem pendidikan kejuruteraan negara melalui jaminan kualiti yang mantap dan piawaian antarabangsa yang diiktiraf,” katanya.

Sehingga Oktober, LJM yang juga agensi bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) merekodkan lebih 260,000 ahli berdaftar, merangkumi jurutera siswazah, jurutera profesional, teknologis kejuruteraan dan pemeriksa kerja, sekali gus membuktikan kekuatan, kredibiliti dan pengaruh yang terus berkembang dalam komuniti kejuruteraan negara.

Dalam pada itu, tumpuan utama sesi kali ini adalah kepada penambahbaikan standard akreditasi dengan penekanan terhadap pengintegrasian matlamat pembangunan mampan (SDG) dan peningkatan berterusan atribut graduan dalam kurikulum kejuruteraan.

Inisiatif itu mencerminkan iltizam EAC untuk memperkasa penambahbaikan kualiti berterusan (CQI) selaras amalan terbaik antarabangsa.

Antara pengisian utama program adalah pelancaran buku Outcome-Based Education (OBE) iaitu penerbitan komprehensif yang mendokumentasikan sedekad pelaksanaannya di Malaysia serta impak terhadap kompetensi graduan, hasil program dan reka bentuk kurikulum.

Buku itu turut menonjolkan kejayaan Malaysia dalam mentransformasikan pendidikan kejuruteraan daripada pendekatan berasaskan pematuhan kepada pendekatan holistik berasaskan bukti, yang memberi penekanan kepada hasil pembelajaran dan kesiapsiagaan profesional.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.