
Beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa perjanjian yang ditandatanganinya dengan Presiden AS Donald Trump pada Ahad lalu telah dilihat dengan teliti oleh pegawai kanan kerajaan bagi memastikan kepentingan negara terpelihara.
Kenyataan itu dibuat susulan gesaan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mahu perjanjian ‘tidak boleh diterima’ itu dibatalkan dengan menyifatkannya sebagai satu bentuk penjajahan.
“Dalam perjanjian perdagangan ini ada klausa keluar (exit clause). Semua perjanjian perdagangan mempunyai klausa keluar,” kata Anwar.
“Mengapa kita tandatangani perjanjian itu? Kerana kita memerlukan pelaburan dari Amerika Syarikat. Dan saya tidak akan meminta maaf tentang perkara itu.
“Menjadikan separuh kebenaran sebagai sesuatu yang mutlak adalah masalah. Ada orang yang enggan mengiktiraf apa-apa perkara yang baik.”
Beliau berkata kecekapan diplomatik Putrajaya telah membuatkan Malaysia dihormati oleh Washington dan Beijing, sambil memaklumkan kerajaan menandatangani perjanjian dengan AS dan China dalam tempoh hanya beberapa hari.
Anwar berkata perkara itu membuktikan keupayaan Malaysia untuk mengekalkan pendirian berkecuali dan bertindak secara bebas dalam urusan global.
Beliau turut menyindir pengkritik pembangkang yang menuduhnya tunduk kepada kuasa asing, sambil menegaskan bahawa Malaysia berhasrat mengekalkan hubungan bersahabat dengan semua negara sambil melindungi kepentingan sendiri.
“Jadi, mereka mahu saya berpihak kepada siapa? Negara mana? Hanya Kedah dan Kelantan? Saya pun baik dengan mereka,” selorohnya, disambut gelak ketawa di Dewan Rakyat.
Di bawah perjanjian perdagangan baharu dengan AS, Malaysia bersetuju untuk memberi akses pasaran istimewa yang ketara kepada eksport industri AS, termasuk bahan kimia, jentera dan peralatan elektrik, logam serta kenderaan penumpang, selain eksport pertanian seperti produk tenusu, ayam dan beras.
Manakala AS akan mengekalkan tarif timbal balas sebanyak 19% ke atas barangan Malaysia, dengan produk tertentu menikmati kadar tarif sifar di bawah senarai rakan perdagangan sejajar.
Malaysia juga akan mengelakkan daripada mengenakan larangan atau kuota eksport terhadap mineral kritikal atau unsur nadir bumi yang dihantar ke AS, serta akan bekerjasama dengan syarikat AS ‘bagi mewujudkan kepastian untuk perniagaan meningkatkan kapasiti pengeluaran.’
Pada Isnin, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Azmin Ali mengkritik perjanjian itu kerana didakwa boleh menjejaskan kedaulatan ekonomi negara, dengan mendakwa ia memaksa Putrajaya mematuhi peraturan perdagangan dan pelaburan Washington.
Bekas menteri perdagangan itu berkata antara klausa paling merugikan ialah Artikel 5.1, yang menurutnya ‘menghendaki’ Malaysia meniru sebarang sekatan perdagangan atau sekatan ekonomi yang dikenakan AS terhadap negara lain.
Bagaimanapun, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz, kemudian menjelaskan bahawa Putrajaya tidak terikat untuk meniru langkah AS dalam mengenakan duti kastam, larangan atau sekatan import terhadap barangan dan perkhidmatan dari negara lain.
Beliau turut berkata Malaysia akan berdepan tarif lebih tinggi sekiranya tidak menandatangani perjanjian perdagangan dengan AS, yang menurutnya akan menjejaskan daya saing negara, iklim pelaburan serta pasaran pekerjaan.