Kelantan harap operasi roboh pangkalan haram mampu kekang penyeludupan

Kelantan harap operasi roboh pangkalan haram mampu kekang penyeludupan

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, Zamakhshari Muhamad berkata ia diharap dapat mengurangkan penyeludupan, khususnya dadah.

eti Pangkalan Haram Gergaji dekat Sungai Golok
Selasa lalu, pihak berkuasa mula melakukan operasi meroboh jeti pangkalan haram di sempadan Kelantan-Thailand bagi mengekang kegiatan penyeludupan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan Kelantan berharap tindakan pihak berkuasa meroboh pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand dapat mengurangkan kegiatan penyeludupan, khususnya dadah.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, Zamakhshari Muhamad, berkata setiap langkah yang mendatangkan kebaikan kepada rakyat akan disokong.

“Kita harap tindakan perobohan yang dilakukan itu dapat membantu mengurangkan risiko penyeludupan khususnya dadah.

“Tugas dan tanggungjawab memantau aktiviti penyeludupan adalah sepenuhnya di bawah bidang kuasa kerajaan pusat melalui agensi-agensi yang berkaitan, terutama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia,” katanya yang juga pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) negeri kepada FMT.

Mengenai isu penduduk terjejas akibat tindakan itu, khususnya mereka terlibat dalam perniagaan, beliau berkata kerajaan negeri akan membantu berdasarkan peraturan dan peruntukan yang ada.

“Kerajaan negeri akan fokus membantu mereka yang terkesan,” katanya.

Selasa lalu, pihak berkuasa mula melakukan operasi meroboh jeti pangkalan haram di sempadan Kelantan-Thailand bagi mengekang kegiatan penyeludupan.

Operasi terbabit diketuai Majlis Keselamatan Negara (MKN), dengan bantuan polis termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas.

Kerja meroboh 153 jeti pangkalan haram di tanah kerajaan di kawasan sempadan itu membabitkan empat daerah dan akan dibuat secara berperingkat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.