Projek terowong dasar laut tak akan jadi kenyataan, mahkamah diberitahu

Projek terowong dasar laut tak akan jadi kenyataan, mahkamah diberitahu

Pegawai SPRM berkata kontrak antara kerajaan negeri dan ahli perniagaan Zarul Ahmad Zulkifli tidak menyebut mengenai pembinaan terowong.

lim guan eng
Bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berdepan empat pertuduhan rasuah berkait projek cadangan terowong dasar laut dan jalan di negeri itu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pegawai penyiasat memaklumkan Mahkamah Sesyen bahawa projek cadangan terowong dasar laut Pulau Pinang dipercayai bernilai berbilion ringgit itu tidak akan menjadi kenyataan.

Zulhilmi Ramli, dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata demikian pada perbicaraan rasuah bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Katanya, siasatan SPRM mendapati dua bidang tanah milik kerajaan negeri telah dipindahkan kepada ahli perniagaan Zarul Ahmad Zulkifli dan kemudiannya dijual kepada sebuah syarikat milik mendiang hartawan, Ewe Swee Kheng.

Beliau berkata, syarikat Zarul, Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd, menerima tanah berkenaan sebagai bayaran menjalankan kajian kebolehlaksanaan serta penyediaan pelan reka bentuk terperinci untuk terowong tersebut.

Namun, kajian itu tidak pernah dijalankan dan pelan reka bentuk juga tidak disediakan.

“Sebuah pangsapuri mewah telah dibina di Lot 702. Datuk Ewe ialah pemajunya,” kata Zulhilmi.

Beliau berkata, kerajaan Pulau Pinang juga membayar firma guaman sebanyak RM100,000 untuk merangka dan melaksanakan ‘perjanjian awal bagi penswastaan projek jalan utama dan terowong’, antara kerajaan negeri dan syarikat milik Zarul.

Bagaimanapun, Zulhilmi berkata berdasarkan terma kontrak tersebut, tiada sebarang pernyataan mengenai pembinaan terowong dasar laut.

“Ia hanya menyebut mengenai Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang atau tiga jalan utama, serta pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan dan perincian kerja reka bentuk,” tambahnya.

Lim berdepan pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu dengan meminta 10% daripada keuntungan projek terowong dasar laut serta menerima sogokan RM3.3 juta daripada ahli perniagaan berkenaan.

Beliau juga didakwa atas dua pertuduhan salah guna tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta.

Pendengaran di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung Khamis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.