
Ketua Polis Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi ketika seorang anggota Rela yang bertugas mengawal keselamatan di kawasan kuil terdengar kekecohan di sebuah restoran dalam perkarangan rumah ibadat itu.
Katanya, hasil pemeriksaan anggota Rela mendapati lelaki tempatan itu disyaki sedang mabuk.
“Pengadu telah meminta lelaki tersebut untuk beredar dan tidak membuat bising di kawasan kuil lalu lelaki tersebut telah bertindak menolak tempat pembakaran colok mengakibatkan abu colok terjatuh.
“Pengadu kemudian menahan lelaki tersebut lalu menghubungi pihak polis,” katanya dalam kenyataan.
Azam berkata, pengadu kemudian menahan lelaki itu sebelum menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Sepasukan anggota dari Balai Polis Ampang tiba di lokasi pada jam 9.20 pagi dan menahan suspek berusia 35 tahun yang diserahkan oleh pengadu.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai lapan rekod lampau berkaitan kesalahan dadah,” katanya.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek bertindak khianat di rumah ibadat berkenaan ketika berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol.
Tambahnya, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Ampang hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.