Apec: Malaysia kukuh peranan selepas kejayaan kepengerusian Asean

Apec: Malaysia kukuh peranan selepas kejayaan kepengerusian Asean

Penyertaan Malaysia ke Apec di Korea Selatan menyambung komitmen menyelaras keutamaan ekonomi, bentuk agenda serantau.

Malaysia antara negara akan menyertai Mesyuarat Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) berlangsung dari 31 Okt hingga 1 Nov di Gyeongju, Korea Selatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penyertaan Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Gyeongju, Korea Selatan selepas kejayaan sebagai pengerusian Asean 2025 dilihat kesinambungan komitmen untuk menyelaras keutamaan ekonomi.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), kehadiran Malaysia yang diketuai Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga memainkan peranan aktif dalam membentuk agenda serantau.

Jelasnya, mesyuarat itu turut berpotensi menjadi platform penting merangka hala tuju pertumbuhan serantau lebih mampan dan inklusif.

Anwar akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz serta Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan. Kedua-duanya turut dijadual menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri APEC, esok.

Di sela-sela mesyuarat, Anwar dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan pemimpin asing, sesi bersama pelabur dan perbincangan mengenai kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, kecerdasan buatan dan tenaga mampan.

Tengku Zafrul Aziz.

Tengku Zafrul berkata Apec kekal sebagai platform penting ketika ekonomi global berdepan perubahan pesat akibat gangguan teknologi, perubahan perdagangan dan demografi.

Menurutnya, Malaysia membawa agenda pertumbuhan mampan, dipacu oleh transformasi digital, kerjasama serantau dan pembangunan inklusif.

“Komitmen ini sejajar tiga bidang keutamaan Republik Korea bagi APEC 2025, iaitu memperkukuh kesalinghubungan melalui sistem perdagangan pelbagai hala telus dan inklusif serta memacu inovasi melalui kerjasama kecerdasan buatan (AI) yang boleh dipercayai dan kebolehoperasian.

“Mempertingkat kemakmuran melalui perdagangan mampan dan menyeluruh bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati di semua peringkat,” katanya dalam kenyataan.

Bertemakan ‘Building a Sustainable Tomorrow: Connect. Innovate. Prosper.’, Apec 2025 yang berlangsung dari 31 Okt hingga 1 Nov akan menghimpunkan 21 pemimpin ekonomi.

Ia bagi merangka strategi bersama ke arah memperkukuh kesalinghubungan, inovasi dan kemakmuran yang menyeluruh di rantau Asia-Pasifik.

APEC kini merangkumi lebih tiga bilion penduduk, menyumbang 61% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 46% perdagangan global.

Pertumbuhan APEC dijangka meningkat kepada 2.9% pada 2026, dipacu perdagangan lebih luas, peningkatan inovasi digital dan permintaan pengguna yang kukuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.