
Mereka masing-masing berusia 41 tahun ditahan di pekarangan IPD Batu Pahat pada 4 petang untuk membantu siasatan.
Ketua Polis Batu Pahat, Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata penahanan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.
“Selain Seksyen 326 Kanun Keseksaan, siasatan dijalankan kerana pengabaian yang menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi,” katanya menurut Berita Harian.
Difahamkan, penahanan ibu bapa kanak-kanak itu bertujuan melengkapkan siasatan sekali gus mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Shahrulanuar turut memaklumkan kanak-kanak lelaki itu semakin stabil dan sudah boleh bercakap selepas menjalani pembedahan di leher.
Mangsa ketika ini masih menerima rawatan rapi di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dan memerlukan pemerhatian pasukan perubatan.
Semalam, media melaporkan polis menjalankan siasatan kes seorang kanak-kanak lelaki yang cedera di leher dipercayai dikelar menggunakan senjata tajam di Parit Raja.
Polis menerima laporan berhubung kejadian daripada ibu mangsa berusia 40 tahun pada 9 pagi.
Berdasarkan laporan, wanita itu menyedari anaknya mengalami kecederaan di leher sebaik sahaja tersedar daripada tidur pada 5.30 pagi di rumah mereka.