MOT arah Apad siasat selepas gangguan Aerotrain berulang

MOT arah Apad siasat selepas gangguan Aerotrain berulang

Menteri Loke Siew Fook berkata Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) diarah bertindak terhadap MAHB susulan beberapa gangguan sejak kembali beroperasi 1 Julai lalu.

aerotrain klia
Loke Siew Fook berkata lesen pengendali mewajibkan tahap perkhidmatan Aerotrain yang memuaskan kepada pengguna. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Pengangkutan mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membuka kertas siasatan terhadap Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) susulan gangguan berulang perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata tindakan itu diambil bagi memastikan MAHB menepati tanggungjawab sebagai pengendali perkhidmatan terbabit.

“Kami maklum bahawa MAHB memerlukan masa bagi menyesuaikan diri memandangkan perkhidmatan itu berada dalam fasa penyesuaian awal.

“Namun begitu memandangkan perkhidmatan Aerotrain telah beroperasi selama beberapa bulan, kementerian melalui APAD akan mengambil tindakan tegas terhadap MAHB bagi setiap insiden gangguan berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Loke, lesen pengendali kepada MAHB menetapkannya wajib memastikan tahap perkhidmatan Aerotrain yang memuaskan kepada pengguna.

“Di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, pelanggaran syarat lesen pengendali boleh dikenakan kompaun sehingga RM250,000 bagi setiap kesalahan,” katanya.

Sementara itu, Malaysia Airports dalam kenyataan berkata gangguan terbaharu pada 15 Okt dan awal pagi tadi berlaku berpunca sistem kuasa Aerotrain, yang berada di bawah tanggungjawab kontraktor IJM-PESTEC Joint Venture (IPJV).

“Malaysia Airports sedang menunggu laporan terperinci dan penjelasan daripada Alstom serta IPJV berhubung insiden berkaitan bekalan kuasa yang berlaku awal pagi dan pada 15 Okt,” katanya.

Menurutnya, langkah proaktif telah diambil bagi mengurangkan sebarang gangguan, termasuk menempatkan sumber khusus dan kontraktor Aerotrain di lokasi sepanjang masa bagi memastikan pergerakan penumpang berjalan lancar.

“Operasi di KLIA kekal berjalan lancar sepanjang Sidang Kemuncak Asean baru-baru ini. KLIA mencatatkan lebih 530,000 pergerakan penumpang dan 3,400 penerbangan, dengan pengurusan operasi yang teratur sepanjang tempoh kritikal ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.