Bertelagah isu ‘arak dan gila’, wakil PAS diarah ‘keluar sekejap’

Bertelagah isu ‘arak dan gila’, wakil PAS diarah ‘keluar sekejap’

Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) diarah keluar Dewan Rakyat kerana enggan tarik balik kenyataan 'gila' terhadap Chong Zhemin (PH-Kampar).

Chong Zhemin dan Misbahul Munir Masduki terbabit dalam pertikaman lidah dalam perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.
KUALA LUMPUR:
Sidang Dewan Rakyat hari ini sedikit gamat apabila Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) membangkitan isu pengambilan alkohol sebagai masalah kesihatan serius dan turut tidak digalakkan oleh semua agama.

Ketika mencelah perbahasan Belanjawan 2026 oleh Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar), Misbahul menyebut agama Buddha, Sikh, Hindu dan Kristian juga tidak menganjurkan minum arak.

Kenyataan itu segera mendapat bantahan daripada Chong Zhemin (PH-Kampar) yang menegaskan dakwaan Kristian melarang alkohol adalah ‘salah dan mengelirukan’.

Misbahul membalas beliau hanya menyatakan minum arak tidak digalakkan, bukannya dilarang dan enggan menarik balik kenyataannya meskipun Syahredzan Johan (PH-Bangi), yang bertindak sebagai speaker, menasihati supaya tidak membuat komen tentang agama lain.

Ketegangan meningkat apabila Chong bertanya sama ada Misbahul sedang mabuk, lalu Ahli Parlimen PAS itu membalas: “Saya tidak mabuk, awak yang gila.”

Syahredzan kemudiannya mematikan mikrofon kedua-dua Ahli parlimen dan mengarahkan mereka menarik balik kenyataan masing-masing.

Chong kemudiannya bersetuju menarik balik kenyataannya, tetapi Misbahul tetap enggan menarik balik komen termasuk gelaran ‘gila’ terhadap Chong.

Speaker kemudian mengarahkan Misbahul keluar dari Dewan Rakyat dan kembali selepas rehat makan tengah hari, walaupun pada ketika itu hampir pukul 1 tengah hari — waktu Dewan biasanya berehat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.