
Protokol Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas Asean-China 3.0 (ACFTA 3.0) dimeterai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz bersama Menteri Perdagangan China, Wang Wentao.
Majlis pemeteraian di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu disaksikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China, Li Qiang.
Perjanjian itu kemudiannya disampaikan kepada Setiausaha Agung Asean, Kao Kim Hourn.
Protokol Peningkatan ACFTA 3.0 menambah panduan persaingan dan perlindungan pengguna, ekonomi digital dan hijau, ketersambungan rantaian bekalan serta penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
ACFTA asal merangkumi perdagangan barangan, peraturan asal, prosedur kastam, kemudahan perdagangan, piawaian dan peraturan teknikal, langkah kebersihan dan fitosanitasi, perkhidmatan, pelaburan dan kerjasama ekonomi serta teknikal.
Dilancarkan pada 2010, perjanjian zon perdagangan bebas terbesar di dunia dalam kalangan negara membangun itu melalui peningkatan berterusan, dengan perjanjian pada lelaran kedua ditandatangani pada 2015 dan berkuat kuasa 2019.
Perdagangan antara China dan blok serantau itu mencapai rekod kira-kira USD694 bilion dalam lapan bulan pertama tahun ini, menandakan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 9.7%.
China dan Asean menjadi rakan perdagangan terbesar satu sama lain selama lima tahun berturut-turut.