AGC pertahan keputusan dakwa 2 guru kerana rotan pelajar

AGC pertahan keputusan dakwa 2 guru kerana rotan pelajar

Jabatan Peguam Negara berkata terdapat asas mencukupi bahawa kedua-dua guru itu bertindak melampaui peraturan ditetapkan.

agc
Seorang Ahli Parlimen Pulau Pinang menggesa Jabatan Peguam Negara mengkaji semula tuduhan terhadap seorang guru dan pesara guru kerana merotan seorang pelajar.
PETALING JAYA:
Jabatan Peguam Negara (AGC) mempertahankan keputusan mendakwa dua guru di Pulau Pinang kerana mendatangkan kecederaan dengan merotan seorang pelajar selepas beberapa pihak berkata tindakan itu menimbulkan rasa takut dalam kalangan pendidik untuk melaksanakan tugas mereka.

AGC berkata keputusan untuk mendakwa kedua-dua guru itu dibuat penelitian menyeluruh hasil siasatan yang mendapati terdapat asas mencukupi bahawa mereka bertindak melampaui peraturan ditetapkan.

“Sehubungan itu, jabatan ini mengambil tindakan pendakwaan agar perlindungan terhadap kesejahteraan kanak-kanak sentiasa terpelihara dan tiada yang mengambil tindakan melampaui batas undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

AGC turut menegaskan bahawa pertuduhan itu bukan bertujuan untuk merendahkan martabat profesion perguruan, sebaliknya dibuat setelah mempertimbangkan pelbagai faktor, termasuk hak dan kebajikan pelajar terlibat, yang merupakan pelajar berkeperluan khas.

Katanya, jabatan itu mengiktiraf peranan besar guru dalam mendidik dan membentuk generasi bangsa.

Pada masa sama, jabatan itu komited untuk memastikan setiap tindakan yang diambil adalah adil, seimbang dan berlandaskan undang-undang, demi melindungi kepentingan semua pihak, khususnya kanak-kanak dan golongan rentan.

Pada 6 Okt lalu, seorang guru dan pesara guru didakwa secara berasingan di Mahkamah Majistret George Town atas tuduhan mendatangkan kecederaan dengan merotan seorang pelajar di SMJK Chung Hwa Confucian, dua tahun lalu. Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah.

Choong Kean Beng, 59, yang sudah bersara, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun menggunakan rotan di bilik disiplin sekolah pada jam 5.30 petang, 6 Dis 2023.

Sementara itu, Lau Teik Hwa, 47, turut didakwa mencederakan pelajar yang sama menggunakan rotan di bilik disiplin sama pada 4 petang, 2 Ogos 2023.

Terdahulu hari ini, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, menggesa AGC menimbang semula pendakwaan terhadap dua guru berkenaan, dengan memberi amaran bahawa langkah itu boleh menimbulkan ketakutan dalam kalangan pendidik untuk melaksanakan tugas mereka.

Beliau dipetik New Straits Times sebagai berkata, AGC mempunyai kuasa untuk menyemak semula pertuduhan selepas menilai semula fakta dan keadaan sesuatu kes, dan semakan seperti itu wajar dilakukan dalam kes ini memandangkan isu yang dibangkitkan.

Pada Ahad lalu, kira-kira 300 guru dan orang awam berhimpun di luar SMJK Chung Hwa Confucian di George Town, Pulau Pinang, bagi menuntut martabat profesion perguruan dikembalikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.