Thailand bersedia kembali jadi peneraju serantau, kata menteri luar

Thailand bersedia kembali jadi peneraju serantau, kata menteri luar

Sihasak Phuangketkeow yakin landskap politik Thailand yang semakin stabil membuka ruang untuk negara itu kembali aktif dalam Asean dan arena global.

SIHASAK PHUANGKETKEOW
Sihasak Phuangketkeow berkata Thailand bersedia memimpin usaha keamanan dan perdamaian di Myanmar.
KUALA LUMPUR:
Thailand berhasrat mengembalikan peranannya sebagai peneraju serantau selepas bertahun-tahun dibelenggu ketidaktentuan politik, kata Menteri Luar Sihasak Phuangketkeow.

Menurutnya, perkembangan politik di bawah kerajaan baharu kini yang diketuai Perdana Menteri Anutin Charnvirakul dari Parti Bhumjaithai, menunjukkan tanda positif dengan tumpuan untuk memulihkan kestabilan negara.

Anutin adalah perdana menteri kesembilan Thailand sejak rampasan kuasa tentera pada 2006 yang sepanjang tempoh itu itu kerap bertukar kerajaan dan berdepan siri protes jalanan yang menjejaskan keyakinan pelabur serta imej antarabangsa Bangkok.

Beliau mengambil alih tampuk pemerintahan pada September lalu selepas Mahkamah Perlembagaan menggugurkan Paetongtarn Shinawatra daripada jawatan perdana menteri kerana pelanggaran etika berkait satu panggilan telefon dengan pemimpin Kemboja, Hun Sen.

Sihasak berkata kerajaan Thailand kini mahu memainkan peranan lebih aktif dalam menangani isu serantau, termasuk krisis berpanjangan di Myanmar, selain memperkukuh kerjasama dalam Asean di bidang keselamatan, perdagangan dan integrasi digital.

“Thailand perlu kembali ke pentas serantau dan antarabangsa.

“Beberapa tahun kebelakangan ini, politik dalaman terlalu mendominasi tumpuan kami. Kini dasar luar perlu menjadi keutamaan,” katanya kepada FMT ketika menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47.

Fokus pada keamanan Myanmar

Sihasak berkata Thailand bersedia menjadi peneraju dalam usaha perdamaian Myanmar, sebaik sahaja hubungannya dengan Kemboja kembali stabil.

Pada sidang kemuncak kali ini, kedua-dua negara menandatangani deklarasi bersama bagi memperkukuh kerjasama dalam isu pengurangan ketegangan, pelupusan periuk api dan membanteras jenayah rentas sempadan.

Sihasak turut mengingatkan sebarang pilihan raya dirancang oleh kerajaan tentera Myanmar mesti melibatkan semua pihak bagi memastikan keabsahan dan kestabilan.

“Pilihan raya bukanlah penyelesaian mutlak. Ia perlu menjadi sebahagian daripada proses perdamaian yang lebih menyeluruh — dengan penyertaan semua kumpulan politik dan etnik,” katanya.

“Kalau ada pihak yang diketepikan, usaha ke arah keamanan hanya akan gagal.”

Tambahnya lagi, keamanan sebenar hanya boleh dicapai oleh rakyat Myanmar sendiri, manakala peranan Asean hanyalah sebagai pemudah cara.

Myanmar masih terperangkap dalam krisis politik dan kemanusiaan sejak rampasan kuasa tentera pada 2021.

Walaupun Asean memperkenalkan pelan damai lima perkara tidak lama selepas itu, pelaksanaannya terbantut akibat peningkatan keganasan dan keadaan kemanusiaan yang semakin parah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.