
Overchuk berkata, perdagangan Rusia dengan Malaysia kembali meningkat tahun ini selepas mengalami sedikit penurunan pada 2024.
“Kami berbincang mengenai perdagangan, yang kini berkembang dengan baik selepas sedikit penurunan tahun lalu. Kami juga membincangkan kerjasama dalam sektor tenaga dan memperkenalkan inisiatif untuk membangunkan logistik serta rantaian bekalan antara utara dan selatan Eurasia,” katanya kepada pemberita sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Beliau berkata, Rusia melihat Asia Tenggara sebagai rakan utama ketika pusat ekonomi global beralih ke rantau ini.
“Kami percaya hubungan perdagangan dan ekonomi kami boleh memberikan manfaat bersama,” katanya memaklumkan sekatan ‘memang wujud’, namun tidak menghalang Moscow daripada terus memperkukuh hubungan dengan Asean.
Berhubung kerjasama nuklear, Overchuk berkata Rusia sedia berkongsi kepakarannya selama berdekad dalam penjanaan tenaga itu dengan negara Asean yang berminat termasuk Malaysia.
“Tenaga nuklear ialah sumber tenaga bersih dan mampan yang tidak bergantung kepada kekuatan angin atau cahaya matahari. Ia adalah prasyarat kepada pertumbuhan ekonomi moden,” katanya.
Overchuk berkata negara Asean juga menunjukkan minat untuk meneroka kerjasama nuklear dengan Rusia, menandakan peranan semakin penting blok itu dalam membentuk kerjasama tenaga bersih masa depan.
Katanya, Rusia satu-satunya negara ketika ini yang mengendalikan reaktor modular kecil dan sedang membina satu lagi, dengan rancangan mengeksport teknologi itu ke Asia.
Baru-baru ini, Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Fadillah Yusof, berkata kerajaan merancang untuk meneroka tenaga nuklear bagi penjanaan elektrik bawah Rancangan Malaysia ke-13 sebagai sebahagian strategi tenaga bersih negara.
Inisiatif itu akan diselaraskan oleh Organisasi Pelaksana Program Tenaga Nuklear bawah MyPower Corporation.
Jun lalu, syarikat itu memeterai perjanjian tanpa pendedahan maklumat dengan Rosatom Energy Projects dari Rusia bagi memudahkan perkongsian pengetahuan strategik mengenai teknologi tenaga nuklear, termasuk loji jana kuasa nuklear terapung.