Muhyiddin persoal sambutan ‘keterlaluan’ PM terhadap Trump

Muhyiddin persoal sambutan ‘keterlaluan’ PM terhadap Trump

Pengerusi PN dakwa tindakan Anwar Ibrahim menari bersama Donald Trump mengguris hati rakyat yang bersimpati dengan nasib warga Palestin.

Donald Trump Anwar Ibrahim
Donald Trump disambut Anwar Ibrahim pada istiadat mengalu-alukan ketibaan beliau di KLIA, semalam.
PETALING JAYA:
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mempersoalkan sambutan yang didakwanya berlebihan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sewaktu ketibaannya ke Malaysia, semalam.

Muhyiddin dalam kenyataan berkata sambutan itu menimbulkan persoalan sama ada Malaysia menilai maruah diplomatik berdasarkan status tetamu, bukan prinsip kemanusiaan sambil mengingatkan nasib rakyat Gaza.

“Apatah lagi tindakan perdana menteri yang turut menari bersama Trump amat mengguris hati seluruh rakyat Malaysia yang bersimpati dengan nasib warga Palestin.

“Perdana menteri sering berapi-api mengutuk kekejaman Israel dan konco-konconya. Namun, semangat itu tiba-tiba luntur digantikan dengan senyuman lebar dan sambutan hangat terhadap individu yang menyokong rejim Zionis Israel,” katanya.

Trump yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, menarik perhatian apabila secara spontan menari bersama kumpulan penari tradisional tempatan, turut disertai Anwar.

Trump ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 atas jemputan Anwar selaku pengerusi ASEAN 2025.

Beliau berlepas pagi tadi untuk menuju ke Jepun bagi meneruskan lawatannya ke Asia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.