Fokus PRU, bantu rakyat, bukan komplot jatuhkan Muhyiddin, gesa Sanjeevan

Fokus PRU, bantu rakyat, bukan komplot jatuhkan Muhyiddin, gesa Sanjeevan

Naib ketua Bersekutu Bersatu beritahu ahli, sekarang masa perkukuh jentera parti, bukan berebut kuasa atau main politik dalaman.

Naib Ketua Bersekutu Bersatu R Sri Sanjeevan luah rasa kecewa terhadap segelintir pemimpin parti dipercayai sedang berkomplot jatuhkan Presiden Muhyiddin Yassin. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ahli dan pemimpin Bersatu diingatkan agar menghentikan sebarang permainan politik dalaman, sebaliknya memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi PRU, selain membantu rakyat menghadapi musim banjir.

Naib Ketua Bersekutu Bersatu R Sri Sanjeevan meluahkan rasa kecewa terhadap segelintir pemimpin parti dipercayai sedang berkomplot untuk menjatuhkan Presiden Muhyiddin Yassin, menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan satu bentuk pengkhianatan terhadap parti.

“Golongan ini nampaknya lupa jasa dan pengorbanan presiden, yang membina parti ini dari kosong dan memastikan ramai daripada mereka mendapat peluang, kedudukan, dan jawatan dalam kerajaan suatu ketika dahulu,” katanya dalam kenyataan.

“Kini apabila parti diuji, mereka bukan tampil mempertahankan institusi kepimpinan sebaliknya menjadi duri dalam daging. Inilah wajah sebenar pengkhianat perjuangan yang bermuka manis di depan tetapi menikam dari belakang.

Semalam Bersatu Dungun menggesa Muhyiddin berehat manakala Setiausaha Agung Azmin Ali digugurkan, susulan pertelingkahan terbuka antara beberapa pemimpin tertinggi parti itu.

Ketua Bersatu Dungun Abdul Aziz Ismail berkata, isu sedang dihadapi Bersatu kini berpunca daripada tindakan beberapa individu yang dilihat tidak lagi relevan dalam struktur pentadbiran parti.

Mengulas lanjut, Sanjeevan berkata, ini bukan masanya untuk berebut kuasa mahupun bermain politik, sebaliknya masa untuk memperkukuh jentera parti dan menumpukan usaha membantu rakyat.

Beliau turut menyeru ahli parti untuk menghentikan politik tikam belakang serta menolak golongan pengkhianat.

“Bersatu tidak akan tumbang kerana fitnah, tetapi akan lemah jika terus membiarkan pengkhianat bermaharajalela di dalam rumah sendiri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.