Diskaun 50% saman JPJ mulai 1 Nov

Diskaun 50% saman JPJ mulai 1 Nov

Diskaun mulai 1 Nov hingga 30 Dis itu terpakai untuk semua jenis saman, kecuali yang perlu dibawa ke mahkamah.

jpj
Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli berkata pengguna jalan raya boleh membayar saman tertunggak di kaunter JPJ atau saluran pembayaran disediakan. (Gambar Bernama)
SUNGAI PETANI:
Pengguna jalan raya diberi tempoh dua bulan untuk menjelaskan saman tertunggak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan diskaun 50% bermula 1 Nov hingga 30 Dis ini.

Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli, berkata diskaun itu terpakai untuk semua jenis saman, kecuali yang tidak boleh dikompaun.

Beliau berkata, orang ramai masih mempunyai saman tertunggak diminta mengambil peluang itu dengan melakukan pembayaran di kaunter JPJ atau saluran pembayaran disediakan.

“Kita menggesa semua rakyat mengambil peluang yang diberi dalam tempoh dua bulan ini bagi menjelaskan saman masing-masing kerana kita akan memulakan diskaun 50% mulai 1 Nov hingga 30 Dis 2025.

“Ia untuk semua jenis saman, bukan untuk saman AwAS (Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115) yang kita gerakkan dari awal tahun lepas, tapi untuk semua jenis saman, kecuali saman yang tidak boleh dikompaun, iaitu yang perlu dibawa ke mahkamah.

“Orang ramai diharap dapat berbuat demikian kerana mulai 1 Jan 2026 tiada lagi diskaun dikeluarkan kepada umum, termasuklah saman JPJ dan saman polis,” katanya pada Sidang Media Khas Op Gempur di sini, malam tadi.

Sementara itu, Aedy Fadly berkata, JPJ melaksanakan Op Perang Lebih Muatan bermula 14 Okt hingga 31 Dis ini bagi membanteras isu kenderaan perdagangan membawa muatan melebihi had dibenarkan.

Setakat hari ini, katanya 27,300 kenderaan diperiksa dan 1,017 daripadanya dikesan membawa barangan melebihi muatan.

“Sebanyak 1,696 pemandu dan pemilik kenderaan disaman mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987, manakala 96 lori turut disita.

“Kebanyakan kenderaan ini kita sasarkan yang bawa muatan seperti batu, kerikil, besi dan sebagainya. Itu sasaran kita sebab kita ada ‘hotspot’ seperti kuari atau kilang besi, tempat kenderaan ini keluar.”

Menurutnya, JPJ sentiasa komited mempergiatkan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, infrastruktur awam terpelihara serta tahap pematuhan undang-undang dalam industri pengangkutan terus dipertingkatkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.