
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan berkata pelantikan itu sejajar dengan komitmen untuk memastikan siasatan dijalankan secara adil, telus dan profesional, tanpa penglibatan mana-mana individu dari FAM.
“Seperti diumumkan oleh Timbalan Presiden FAM, S Sivasundaram, pada sidang media 17 Okt lalu, sebuah jawatankuasa bebas akan ditubuhkan tanpa penglibatan mana-mana individu dari FAM bagi memastikan proses siasatan dilaksanakan secara adil, telus dan profesional,” katanya.
Badan induk bola sepak itu yakin Rauf dapat menjalankan siasatan dengan teliti dan menyeluruh bersama ahli jawatankuasa lain berdasarkan kredibiliti dan pengalaman luasnya.
Raus memulakan kerjaya dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan pada 1976, dan pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuk majistret, presiden mahkamah sesyen, timbalan pendakwa raya serta penasihat undang-undang di beberapa kementerian.
Beliau dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 1994 sebelum dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Tinggi pada 1996, kemudian Presiden Mahkamah Rayuan, sebelum mencapai kemuncak kerjaya sebagai Ketua Hakim Negara pada 2017.
Di peringkat antarabangsa, Raus turut memegang peranan penting sebagai Presiden Persatuan Mahkamah Perlembagaan Asia dan Institusi Setaraf, selain menjadi ahli aktif Majlis Ketua Hakim Negara ASEAN (CACJ).
Sebelum ini, FAM mengesahkan wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen pemain yang dilakukan oleh kakitangannya.
Pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui, dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Dalam masa sama, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, yang kini digantung tugas, menegaskan tujuh pemain berdarah warisan yang dikaitkan dengan isu pemalsuan dokumen itu merupakan rakyat Malaysia yang sah.
Bagaimanapun, FIFA dalam laporan rasmi bertajuk Notification of the Grounds of the Decision bertarikh 6 Oktober 2025 menjelaskan, hukuman dikenakan berdasarkan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA melibatkan kes pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.
Susulan pelanggaran itu, FIFA mengenakan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM10,000) serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.