
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata inisiatif itu penting bagi memastikan rantau ini bersedia secara bersama dalam menghadapi sebarang kemungkinan ancaman kesihatan.
Beliau berkata, pandemik Covid-19 menekankan kepentingan daya tahan bersama, kerjasama serta kesiapsiagaan negara serantau.
“Kita perlu meningkatkan penglibatan dan kerjasama kerana ia kekal sebagai kunci kepada kestabilan. Kita juga perlu meneruskan usaha menubuhkan APTRMS seperti dicadangkan bagi memperkukuh persediaan menghadapi kecemasan pada masa depan,” katanya berucap pada Sidang Kemuncak Asean Campur Tiga (Asean+3) ke-28 di luar Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Sidang Kemuncak Asean+3 dipengerusikan secara bersama Anwar, Perdana Menteri China Li Qiang, Menteri Luar Jepun Motegi Toshimitsu serta Presiden Korea Selatan Lee Jae-myung.
Anwar berkata, pertumbuhan serantau perlu bersifat adil dan inklusif, memastikan kemakmuran dapat dinikmati secara meluas serta kemajuan menyumbang kepada keamanan dan kestabilan berkekalan.
“Kita perlu mempersiapkan belia dan wanita untuk masa depan rantau Asia Timur lebih mampan, terangkum serta saling berhubung.”
Beliau turut mengharapkan penglibatan membina mengenai masa depan kerjasama itu supaya Asia Timur kekal berperanan sebagai tonggak kestabilan, menyediakan peluang dan harapan.
Sidang Kemuncak Asean+3 diadakan bagi membincangkan langkah memperkukuh kerjasama serantau lebih luas.
Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula semalam hingga esok menghimpunkan lebih 3,000 delegasi, termasuk pemimpin serantau serta antarabangsa dari lebih 30 negara organisasi bagi memperkukuh penglibatan serta kerjasama.