
Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah, berkata 100 kes rogol direkodkan di negeri itu sepanjang sembilan bulan tahun ini, dengan 91 daripadanya membabitkan pertemuan secara suka sama suka.
Justeru, beliau berharap ibu bapa mengambil peranan dan campur tangan dalam menangani trend yang agak membimbangkan itu.
“Itu sebabnya saya menegaskan kita tidak boleh berhenti menangani isu ini.
“Polis dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, termasuk guru serta agensi lain perlu bekerjasama dalam pelbagai bidang untuk menanganinya,” katanya menurut Harian Metro selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba di Jitra semalam.
Beliau menasihatkan ibu bapa lebih berwaspada apabila anak keluar lewat malam.
“Jika anak-anak kita yang berusia 13 atau 15 tahun keluar pada waktu malam, mengapa ibu bapa tidak bertanya ke mana mereka pergi? Mengapa kita tidak mempersoalkannya?
“Kita perlu kembali ke zaman dahulu apabila masyarakat lebih bersikap jaga tepi kain (busy body) apabila orang ramai saling menjaga dan tidak takut untuk bertanya mengapa anak seseorang keluar lewat.
“Saya percaya kes gejala sosial seperti rogol dapat dikurangkan jika kita menghidupkan semula rasa prihatin itu.”