
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ewon Benedick, berkata peruntukan itu disalurkan setakat September lalu dan membabitkan 2,006 usahawan Tekun di Sabah termasuk RM8.5 juta kepada 207 usahawan di Telupid.
“Ini jelas menunjukkan komitmen Tekun Nasional memperkasakan ekonomi rakyat melalui sokongan pembiayaan mikro, khususnya kepada komuniti luar bandar dan usahawan kecil yang memerlukan suntikan modal untuk mengembangkan perniagaan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Ewon berkata, sejak ditubuhkan pada 1998, Tekun Nasional menyalurkan pembiayaan RM10.84 bilion kepada 607,514 usahawan di negara ini setakat September lalu.
Daripada jumlah itu, RM1.26 bilion disalurkan kepada 67,248 usahawan di Sabah dengan RM37.4 juta disalurkan ke Telupid bawah Parlimen Beluran melibatkan 1,320 usahawan.
“Telupid kaya dengan sumber alam, potensi pertanian serta pelancongan. Usahawan di sini, terutama yang terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan, pertanian, kraftangan dan industri makanan adalah kekuatan kita.
“Mereka bukan sahaja menjana pendapatan untuk keluarga, tetapi membuka peluang pekerjaan dan penggerak ekonomi setempat,” katanya.
Dalam pada itu, Ewon menasihatkan penduduk untuk mengambil peluang daripada Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) dan skim lain ditawarkan Tekun Nasional, serta menyertai program latihan serta bimbingan disediakan agensi bawah Kuskop.
“Kejayaan perniagaan bukan hanya bergantung kepada modal, tetapi juga ilmu pengetahuan dan kemahiran keusahawanan,” katanya.
Ewon berkata, Belanjawan 2026 juga membuktikan komitmen berterusan kerajaan membantu usahawan PMKS dengan peruntukan sehingga RM2.5 bilion disalurkan untuk manfaat usahawan mikro di negara ini.