RTM mohon maaf pengulas silap sebut nama presiden Indonesia

RTM mohon maaf pengulas silap sebut nama presiden Indonesia

Siasatan dalaman mendapati terdapat kesilapan pengulas yang menyebut nama Joko Widodo sedangkan presiden Indonesia terkini ialah Prabowo Subianto.

RTM berkata pihaknya akan terus meningkatkan kawalan editorial dan semakan fakta bagi memastikan setiap maklumat disampaikan adalah tepat serta berintegriti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
RTM memohon maaf atas kesilapan pengulasnya menyebut nama presiden Republik Indonesia yang terkini ketika siaran langsung sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47.

Badan Perhubungan Awam Jabatan Penyiaran Malaysia berkata, siasatan dalaman mendapati terdapat kesilapan pengulas siaran yang telah menyebut nama Joko Widodo sedangkan presiden Indonesia terkini ialah Prabowo Subianto.

“Pihak RTM memandang serius perkara ini dan tindakan sewajarnya telah diambil.

“RTM dengan ini memohon maaf kepada presiden dan kerajaan Republik Indonesia, serta semua pihak yang terkesan akibat kesilapan ini,” katanya dalam kenyataan.

RTM berkata, pihaknya akan terus meningkatkan kawalan editorial dan semakan fakta bagi memastikan setiap maklumat disampaikan adalah tepat serta berintegriti.

Malaysia selaku pengerusi blok 10 negara akan menjadi tuan rumah acara berlangsung dari 26 hingga 28 Okt.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.